Najib perlu minta Zahid berterus terang soal jajaran baharu

Dari Penulis

ANALISIS

DALAM satu kenyataan, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa ahli parti itu menolak kelompok yang membisu atau bersekongkol menentang perintah Raja-Raja Melayu dan sistem berparlimen demi mempertahankan kedudukan sendiri.

Bekas Presiden UMNO itu berhujah UMNO dtubuhkan pada 1947 dengan tujuan menentang Malayan Union dan mempertahankan Raja-Raja Melayu serta kebebasan bangsa dan tanah air.

Kata beliau, mereka yang tidak berminat dengan perjuangan UMNO tidak patut dicalonkan dalam pilihan raya umum meraka akan ditolak oleh rakyat atau bertanding dalam pemilihan parti akan datang semua ahli UMNO wajib tolak.

Memang betul apa yang bekas Perdana Menteri itu katakan tetapi soalnya siapa yang beliau maksudkan? Siapa yang menentang perintah Raja-Raja Melayu? Kenapa terlalu cepat membuat kesimpulan?

Penulis percaya tidak ada seorangpun pemimpin UMNO sama ada memegang jawatan dalam kerajaan atau tidak yang akan menentang perintah Raja-Raja Melayu. Malah kesemua mereka setia bersama UMNO serta sudah pasti sama sekali tidak akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada parti terbesar orang Melayu itu.

Tak mengapalah sebagai bekas Presiden parti tersebut, Najib berhak memberi pandangan tetapi penulis juga ternanti-nanti apa pula komen Najib berhubung pelbagai isu yang meliputi sahabat baiknya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dakwaan mahu mewujudkan Jajaran Baharu politik dengan PKR? 

Sebagai seorang yang cukup bijak berhujah dengan pelbagai hantaran dalam media sosial, Najib pasti mengetahui sama ada benar atau tidak, dakwaan Ahmad Zahid menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri tidak berapa lama dahulu.

Dan sebagai seorang yang pernah dikaitkan dengan rakaman audio ‘Can I advise you something’ satu ketika dulu, Najib pasti tahu sama ada rakaman audio yang dikatakan melibatkan Ahmad Zahid dengan Anwar betul atau tidak.

Penulis percaya kalaulah laporan mengenai pinjaman negara boleh diperolehi oleh beliau dengan begitu terperinci, tak kanlah soal Jajaran Baharu itu, Najib tidak tahu atau buat-buat tak  tahu. Tanya saja mangan marah.

Sepatutnya jika Najib benar-benar mahu mempertahankan dasar perjuangan UMNO, beliau juga perlu menggesa ahli-ahli UMNO menolak mana-mana pemimpin yang cuba mewujudkan sebarang kerjasama dengan Anwar kerana UMNO sudah tegaskan ‘No Anwar, No DAP, No Bersatu’.

Malah  sebagai pemimpin yang dilihat terus menonjol dalam UMNO biarpun mempunyai kes di mahkamah, mungkin Najib boleh minta atau nasihatkan Ahmad Zahid untuk membuat penjelasan dan berterus terang terhadap segala isu yang melingkari Presiden UMNO itu.

Soal surat kepada Agong, soal rakaman audio, soal ada Ahli Parlimen menandatangani dokumen menyokong Anwar di depan Ahmad Zahid dan apa dimaksudkan dengan jajaran baharu yang mahu dibawa oleh Ahmad Zahid.

Seperkara lagi, Najib boleh nasihatkan Ahmad Zahid untuk ‘berguru’ dengan beliau bagaimana mahu menghadapi dakwaan-dakwaan seumpama itu sehingga daripada pemimpin yang ditolak dalam pilihan raya kini mampu bangkit semula sehingga lebih lantang daripada pembangkang dalam ‘menyerang’ kerajaan sampai ada yang kata ‘Anwar pun kalah’.

Apapun penulis percaya Najib boleh meminta Ahmad Zahid berterus terang kerana Najib pastinya mahu mempertahankan dasar perjuangan, keputusan dan pendirian UMNO. Antara keputusan atau pendirian parti itu ialah tidak menjalin hubungan dengan Anwar dan PKR.

Najib boleh menghilangkan keraguan dan kekeliruan dalam kalangan ahli-ahli UMNO berhubung perkara itu.

Walaupun tidak lagi memegang apa jawatan, Najib masih dianggap cukup berpengaruh di dalam UMNO, popularitinya jauh meninggalkan Ahmad Zahid mahupun pemimpin UMNO lain, jadi gunakanlah kelebihan itu menyelamatkan UMNO daripada tersalah langkah dalam percaturan politiknya.

Itupun kalau Najib menganggap bekerjasama dengan Anwar dan PKR itu melanggar ketetapan UMNO.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Empat direman dera pembantu rumah di Johor

DUA pasangan suami isteri ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam insiden memukul tiga pembantu rumah warga Indonesia yang rakaman...

More Articles Like This