SCOTLAND mungkin meraih tiga mata penuh menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Haiti dalam aksi Kumpulan C Piala Dunia 2026 pagi tadi, namun hakikat sebenar perlawanan itu ialah kebangkitan Haiti yang berjaya memberi tentangan sengit sehingga wisel penamat.
Jaringan tunggal kapten Scotland, John McGinn pada minit ke-28 sudah cukup memisahkan kedua-dua pasukan, namun keputusan itu tidak menggambarkan sepenuhnya corak permainan sebenar di atas padang.
Sebelum sepak mula, ramai pemerhati menjangka Scotland akan berdepan tugas mudah menentang Haiti yang kembali ke pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 1974.
Namun skuad Caribbean itu mempamerkan disiplin taktikal tinggi dan keberanian menyerang yang menyebabkan Scotland terpaksa bekerja keras sepanjang 90 minit.
Malah, Haiti tidak sekadar bertahan. Mereka berjaya menguasai sebahagian besar permainan pada babak kedua dan mencipta beberapa peluang berbahaya menerusi Frantzdy Pierrot, Wilson Isidor dan Ruben Providence yang hampir meranapkan impian Scotland membawa pulang tiga mata.
Peluang terbaik Haiti hadir pada penghujung permainan apabila tandukan Pierrot hanya tersasar tipis, manakala beberapa gerakan balas pantas mereka berjaya memaksa benteng Scotland bertahan dalam keadaan cemas.
Jurulatih Haiti, Sébastien Migné turut menyifatkan persembahan anak buahnya sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan walaupun tewas, sambil menegaskan pasukannya perlu mengekalkan keyakinan untuk menghadapi baki saingan kumpulan yang lebih mencabar.
Bagi Scotland pula, kemenangan itu sememangnya bersejarah kerana merupakan kemenangan pertama mereka di Piala Dunia sejak 1990.
Namun persembahan yang dipamerkan jauh daripada meyakinkan.
Scotland dilihat gagal mengawal tempo permainan selepas mendahului dan terlalu bergantung kepada kekentalan pertahanan untuk mempertahankan kelebihan satu gol.
Keputusan itu meletakkan Scotland di tangga teratas Kumpulan C selepas perlawanan antara Brazil dan Maghribi berakhir 1-1.
Namun jika Haiti mampu mengekalkan intensiti dan keberanian yang dipamerkan pagi tadi, mereka berpotensi menjadi pasukan pengacau yang mampu mencetuskan kejutan dalam baki aksi kumpulan.
Kekalahan 0-1 mungkin menyakitkan buat Haiti, tetapi persembahan mereka memberi mesej jelas bahawa status sebagai pasukan bukan pilihan tidak lagi relevan.
Scotland memperoleh kemenangan, namun Haiti memenangi penghormatan ramai pemerhati bola sepak menerusi semangat juang dan keberanian mencabar pasukan Eropah yang jauh lebih berpengalaman.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

