PERTAMBAHAN bayaran sagu hati untuk sukarelawan kesihatan yang terbabit dalam proses vaksinasi dan pengurusan COVID-19 turut dinikmati sukarelawan yang khusus menyantuni orang kurang upaya (OKU).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini terdapat kira-kira 100 sukarelawan yang membantu memastikan kelancaran proses vaksinasi dan pengurusan COVID-19 melibatkan golongan OKU.
“Sukarelawan OKU juga akan menikmati kenaikan kadar elaun harian kepada RM100 sehari sebagaimana yang bakal diterima sukarelawan kesihatan bermula hujung bulan ini seperti yang saya umumkan di Pagoh, Selasa lalu,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Dalam hantaran itu, Muhyiddin berkongsi pengalaman selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu OKU Sentral di Menara Sime Darby Plantation dekat ibu negara hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Dalam sidang media di Tangkak, Johor pada 22 Jun lepas, Muhyiddin mengumumkan peningkatan kadar bayaran tersebut sebagai tanda pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan sukarelawan.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, ketika ini terdapat 579,150 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 280,904 telah berdaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), setakat 20 Jun lalu.
Menurut, seramai 15,914 telah mendapat suntikan dos pertama, manakala kira-kira 4,000 lagi sudah melengkapkan vaksinasi dua dos.
“Saya amat berbangga dengan kesedaran ahli keluarga dan penjaga kepada individu OKU tentang ancaman virus COVID-19 serta menghargai sokongan mereka terhadap program imunisasi COVID-19,” jelasnya.
Tambah Muhyiddin, PPV OKU-pandu lalu yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan OKU Sentral ini dibuka khas untuk membantu ahli komuniti OKU menerima suntikan vaksin mengikut kesesuaian dan keadaan mereka dengan dibantu oleh sukarelawan OKU yang berpengalaman berurusan dengan komuniti OKU.
Katanya, proses vaksinasi golongan OKU bukanlah suatu tugas yang mudah kerana sifat atau tidak balas mereka yang tentunya berlainan daripada biasa.
“Kesabaran petugas kesihatan dan sukarelawan di PPV ini mendepani karenah mereka amat dihargai. Langkah menyediakan bilik bertenang atau ‘calm room’ yang dilengkapi permainan dan juga alunan muzik juga adalah satu inisiatif yang amat baik dalam membantu ‘menenangkan’ anak-anak OKU ini.
“Usaha Kerajaan dengan penglibatan NGO dan juga sektor swasta ini amat diperlukan dalam memastikan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat suntikan vaksin COVID-19,” ujarnya.

