Kelibat wanita, penumpang misteri. Waspada lalu di Jalan Gemas-Palong waktu malam

Dari Penulis

Siapa pernah ‘terkena’ ketika melalui jalan Gemas – Palong di Negeri Sembilan pada waktu malam?

Ini kisah yang saya alami sendiri lebih lima tahun lalu. Selalunya hujung minggu masa cuti, saya akan ke rumah ibu di Taman Desa Permai di Gemas.

Ahad malam, seperti biasa saya mahu bergerak pulang ke rumah. “Tak payahlah balik hari ini. Balik esok awal pagi. Mak rasa tak sedap hati,” kata ibu malam itu. Memang malam itu sejak awal saya juga rasa tak sedap hati, tidak seperti kebiasaan.

Saya bertugas di sebuah sekolah di Palong 2. Sebab esok paginya ada kerja penting harus diselesaikan, saya takut jika terlambat datang kerja jika bermalam di rumah ibu. Sebab itu, saya tetap berkeras untuk pulang ke kuaters malam itu juga.

Selalunya saya akan pulang pada waktu petang atau tengah hari. Namun pada hari itu, rasa malas betul untuk pulang awal. Akhirnya, hari menjelang malam. Sesudah Isyak, barulah saya bergerak untuk pulang ke rumah.

Saya menunggang motor malam itu. Selalunya, perjalanan dari Gemas ke Felda Palong 2 hanya mengambil masa lebih kurang 35 minit saja.

Sebelum ini, saya sudah biasa melalui jalan itu waktu malam. Cuma, pada malam tersebut saya terasa lain. Rasa tak sedap hati. Tak tahu nak gambarkan bagaimana.

Keadaan jalan malam itu gelap pekat. Hanya lampu motosikal sahaja yang menerangi laluan. Sepanjang perjalanan pulang itu, tidak banyak kereta yang melalui jalan tersebut, walaupun jam belum menghampiri pukul 10.00 malam.

Sebaik saya melintasi Jabatan Perhilitan yang terletak berhampiran Kampung Londah, saya terlihat satu kelibat putih tiba-tiba terbang melintasi hadapan saya. Besarnya kelibat itu lebih kurang satu depa lelaki dewasa.  

Tiba-tiba ada benda putih terbang melintas di hadapan.

Saya terkejut. Mula saya teringat kisah-kisah seram yang pernah diceritakan rakan-rakan dulu.

Ada yang pernah bercerita terserempak dengan perempuan berjalan seorang di tepi jalan di situ. Bila ditoleh, perempuan itu tiba-tiba hilang. Ada juga yang kata pernah ternampak pasar yang riuh dalam kawasan ladang getah. Sama juga apabila mereka toleh ke belakang, pasar yang meriah itu tiba-tiba hilang.

Masa itu saya agak cuak. Saya berdoa, janganlah ‘dia’ kacau saya. Sambil tu, dalam hati saya baca apa saja ayat-ayat suci yang terlintas dalam fikiran. Itupun bacaan berterabur kerana perasaan takut.

Saya terus memecut motosikal. Sesekali saya menjeling melihat cermin sisi untuk melihat kelibat tadi. Lega hati saya bila kelibat putih tadi sudah hilang entah ke mana. Ghaib dalam kegelapan malam. Yang penting ia tidak mengikuti saya.

Tetapi, sebaik saya melintasi kawasan perkuburan di Kampung Londah, hidung saya tiba-tiba menangkap bau wangi. Susah hendak saya gambarkan bau itu. Tapi, ia amat harum.

Belum sempat bau itu hilang, tidak jauh di depan, saya perasan ada sesuatu di tepi jalan. Sewaktu melintasi kawasan itu, saya beranikan diri untuk menoleh ke arah ‘sesuatu’ tadi.

Jelas di mata saya, ada wanita berpakaian putih sedang berdiri di situ. Rambutnya panjang, namun mukanya tunduk.

Sekali lagi saya terkejut. Siapa kelibat wanita serba putih itu? Mungkinkah itu lembaga yang tiba-tiba melintas di depan saya tadi?

Saya tidak tahu. Hati sudah diselubungi rasa takut, bulu roma sudah tegak berdiri. Saya terus memecut. Tetapi ketika itu juga saya dapat rasa motor saya bagai hilang upaya. Seakan ada ‘benda’ berat sedang menumpang di belakang saya ketika itu.

Saya tukar ke gear rendah. Masih juga sama, seperti ada kuasa kuat yang sedang menarik dari arah belakang. Saya gagahkan juga memulas tombol minyak, namun motor saya bagai lemah tidak berdaya seakan berat sangat beban di atasnya. Enjin mengaung, tapi terlalu berat untuk bergerak.

Saya tak berani pandang belakang. Tetapi saya kuatkan diri. Spontan saya berkata-kata, “Kalau betul kau ada kat belakang aku… cepatlah turun!”

Kebetulan ketika itu ada beberapa buah kereta yang datang dari arah bertentangan. Yang saya pelik, kereta itu memberikan ‘high-beam’ bila berselisih dengan saya. Tak tahulah apa tandanya. Adakah mereka pun ternampak ‘penumpang’ yang tidak diundang di belakang saya?

Saya ketika itu sudah separuh perjalanan untuk sampai ke rumah. Mahu tak mahu, saya kena hadap situasi itu. Tuhan sahaja yang tahu betapa menggigilnya tubuh saya ketika itu.

Sewaktu saya semakin menghampiri kawasan Felda Palong 5, motor yang tadi bergerak perlahan seperti basikal tua, tiba-tiba sudah mampu meluncur laju ke hadapan. Berat yang menumpang seolah-olah sudah terbang pergi.

Barulah saya lega dan tak putus mengucapkan syukur ketika itu. Lebih kurang 10 minit kemudian, saya tiba di rumah. Malam itu, saya tidur berselubung dalam selimut. Kadangkala tubuh menggigil. Fikiran agak terganggu dengan kejadian itu.

Bukan saya tak biasa dengan laluan di situ, tapi entah kenapa malam itu saya mengalaminya. Sebelum itu bertahun-tahun lalu di situ tak pernah kena begitu.

Sebelum itu memang selalu saya dengar orang sekitar bercerita bahawa laluan di situ memang sering berlaku kejadian misteri.  Macam-macam cerita pelik yang mereka dengar.

Jalan Gemas – Palong.

Contohnya, sebelum masuk ke kawasan Felda, terdapat sebuah jambatan yang di bawahnya merupakan laluan kereta api. Pernah seorang pemuda yang pulang lewat malam ternampak seorang lelaki sedang berdiri dengan joran di tangannya.  Bila ditanya, jawabnya ‘tengah memancing’. Memancing apa namanya di laluan kereta api tengah malam buta?

Khabarnya kawasan itu dahulu adalah kubu Jepun. Sewaktu acara ‘tolak tanah’ pun banyak senjata lama termasuk peluru mortar yang ditemui.

Saya bernasib baik sebab malam itu ‘penumpang’ hanya duduk diam di belakang. Bayangkan kalau dia menyergah, mungkin di situ juga saya terkencing dan pengsan.

Mungkin anda yang berani atau suka mencari benda-benda begini akan ketawa bila baca kisah pengalaman saya ini. Saya akui, saya bukanlah seorang yang terlalu berani dengan benda-benda begitu. Kalau boleh, saya memang tak nak ‘bertemu’ dengan makhluk-makhluk itu.

**Kisah di atas diceritakan oleh Badrul, berdasarkan pengalamannya sendiri sewaktu melalui jalan itu.

_____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This