Oleh Syed Saggaf
Berakhir sudahlah Euro 2020 malam tadi dengan Itali berjaya menjuarai temasya sukan terbesar di Eropah apabila membenam England menerusi sepakan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 selepas tamat 120 minit permainan.
Perlawanan pagi tadi juga penuh dengan aksi menarik dan secara keseluruhan, Itali memang layak untuk diangkat menjadi juara, menyebabkan England akan meneruskan penantian 55 tahun mereka untuk merangkul piala kejohanan besar dunia.
Namun, Euro 2020 yang melabuhkan tirainya akan sentiasa kekal sebagai salah satu kejohanan yang sangat bersejarah dan bermakna.
Sepanjang 51 perlawanan dan selama empat minggu, kita telah disajikan dengan perlawanan-perlawanan hebat dan menarik.
Sebanyak 142 gol telah dijaringkan dengan purata jaringan sebanyak 2.79 gol satu perlawanan, menjadikan kejohanan kali ini sebagai kejohanan terbaik selepas Euro 2000.
Sebelum kejohanan bermula, mungkin ramai yang tidak meletakkan Itali sebagai pasukan pilihan kejohanan, apatah lagi menjangka Itali akan menjuarai Euro 2020.
Manakan tidak, sewaktu Roberto Mancini dilantik menjadi ketua jurulatih Itali, mereka baru sahaja gagal untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Russia, pertama kali sejak 1958 yang mana ini terakhir berlaku.

Namun bekas penyerang Itali pada era 90-an itu telah mula membina semula pasukan Itali supaya digeruni lawan secara perlahan-lahan.
Di dalam kelayakan ke Euro 2020, Itali dengan cemerlangnya telah mencatatkan kemenangan di setiap 10 perlawanan dalam peringkat kumpulan dan menjaringkan 37 gol dengan hanya bolos lima kali, yang merupakan rekod di peringkat kelayakan.
Baca artikel berkaitan: Di Sebalik Euro 2020: Adakah bola sepak benar-benar pulang ke England?
Apa yang mengejutkan pada kejohanan kali ini adalah perubahan Itali daripada pasukan yang selalu dikenali lebih suka bertahan kepada pasukan Itali yang sangat mementingkan penguasaan bola dan lebih cenderung untuk menyerang.
Pada Euro 2020 ini, pasukan Itali menerajui carta jaringan terbanyak dengan 13 gol. Selain itu, mereka juga membuat sejumlah 128 percubaan ke pintu gol lawan, terbanyak di dalam kejohanan kali ini dengan purata 18.29 satu perlawanan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa statistik pertahanan penting menunjukkan bagaimana sebenarnya kejuaraan ini dimenangi. Itali mementingkan kepantasan untuk menguasai bola daripada pihak lawan.
Ini terbukti apabila mereka memenangi bola sebanyak 291 kali daripada posisi bertahan. Jelaslah bahawa Mancini mementingkan penguasaan semula bola supaya peralihan daripada bertahan kepada menyerang dapat dilaksanakan dengan cepat.
Jika kita mahu fokuskan kepada pemain yang membawa kejayaan kepada pasukan Itali ini, maka kita akan terus teringatkan Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini yang sangat cemerlang mengemudi barisan pertahanan Itali.
Tidak lupa juga barisan serangan pasukan Itali khususnya Lorenzo Insigne, Federico Chiesa dan Ciro Immobile yang masing masing menjaringkan dua gol. Pemain-pemain dari bangku simpanan Itali seperti Manuel Locatelli dan Matteo Pessina yang apabila dipanggil beraksi, berjaya menjaringkan gol-gol penting.
Namun, jika kita perlu memilih seorang pemain, individu tersebut mestilah Jorginho, pemain yang sentiasa bekerja keras dalam setiap perlawanan. Secara purata, dia meliputi jarak sejauh 12.4 kilometer setiap perlawanan dan secara keseluruhan, telah berlari sejauh 86.6 km dalam tujuh perlawanan yang dia lalui.

Ini merupakan statistik yang sangat menarik. Seorang pemain tengah di dalam kejohanan ini hanya berlari secara purata sejauh 7.2 kilometer sahaja!
Dia juga membuat sebanyak 497 hantaran tepat di dalam kejohanan ini dengan ketepatan hantaran setinggi 93 peratus merupakan kedua tertinggi selepas Aymeric Laporta dari Sepanyol.
Walaupun tanpa gol, dia adalah pemain terpenting dalam pasukan Itali ini, begi menjelmakan falsafah permainan Roberto Mancini.
Benarlah bak kata pengurus legenda, Sir Alex Ferguson. Serangan membantu anda memenangi perlawanan, tetapi kecekapan bertahan membantu anda memenangi pertandingan.
Itali telah menjumpai keseimbangan antara bertahan dan menyerang di dalam misi mereka untuk menjuarai Eurk 2020.
Satu bulan yang sangat memuaskan hati seluruh peminat bola sepak. Tiba masa untuk kita berehat seketika sebelum liga-liga utama akan bermula tidak lama lagi.
Sekian daripada “Di Sebalik Euro 2020” dan kita jumpa lagi di pertandingan-pertandingan lain.
Penulis ialah ketua pegawai eksekutif syarikat minyak dan gas yang meminati sukan bola sepak.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

