PERJANJIAN Penjualan Saham Yang Dinyatakan Semula dan Dipinda (RASSA) bagi pembelian 60 peratus saham dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) telah luput pada 6 Mei, 2021 berikutan syarat-syarat terdahulu dalam perjanjian itu tidak dipenuhi oleh pihak-pihak berkenaan dalam tempoh syarat terdahulu.
RASSA bagi penjualan 60 peratus saham dalam BMSB kepada IWH CREC Sdn Bhd (ICSB), syarikat usaha sama antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC), dimeterai pada 17 Dis, 2019.
BMSB adalah milik penuh TRX City Sdn Bhd manakala TRX City pula merupakan anak syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan (Diperbadankan).
“TRX City dan ICSB telah bekerjasama mencari jalan penyelesaian untuk mengekalkan perkongsian itu bagi merealisasikan matlamat bersama iaitu memanfaatkan potensi Bandar Malaysia.
“Meskipun usaha tersebut dilakukan namun setakat ini, pihak-pihak berkenaan tidak dapat bersetuju secara bersama terhadap terma bagi lanjutan tempoh syarat terdahulu. Justeru, perjanjian ini kini dianggap terbatal dan tidak sah,” menurut kenyataan bersama TRX City, IWH dan CREC, memetik laporan Bernama.com.
TRX City kekal komited untuk merealisasikan visi Bandar Malaysia, jelasnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

