HANYA 64 kes atau 0.5 peratus daripada 12,528 jangkitan harian baharu yang dilaporkan hari ini berada dalam kategori 5 iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 6,840 kes atau 54.6 peratus jangkitan baharu hari ini adalah daripada kategori 1 iaitu tidak bergejala.
Pada masa sama, kata beliau, 5,468 atau 43.6 peratus lagi berada dalam kategori 2 yang bergejala ringan.
Secara keseluruhan, beliau berkata, ia sekali gus menjadikan sebanyak 98.2 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori 1 dan 2.
“Peratusan kes lain pula memperlihatkan 112 kes iaitu 0.9 peratus berada dalam kategori 3 yang mengalami radang paru-paru.

“Selain itu, baki 44 kes atau 0.4 peratus adalah kategori 4 yang menghidapi radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: 51.9 peratus kes baharu tidak bergejala, 115 kematian
Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 138 kes kematian telah dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan rekod tertinggi sejak COVID-19 menular.
Jelas beliau, secara keseluruhan 6,866 korban telah dikenal pasti dengan 128 warganegara dan 10 bukan rakyat Malaysia menjadi mangsa COVID-19 hari ini.
“Kes kematian hari ini menyaksikan Selangor menjadi negeri korban tertinggi iaitu sebanyak 46 kes, 20 kes di Negeri Sembilan dan masing-masing 16 kes di Kuala Lumpur dan Johor.
“Sebanyak 12 kes dilaporkan di Pahang, 11 kes di Melaka, tujuh dikesan di Kedah, empat di Perak, tiga di Pulau Pinang, dua di Terengganu serta satu di Sabah.
“Daripada keseluruhan kes kematian hari ini, 122 dikesan mempunyai latar belakang penyakit manakala 18 adalah kes brought in dead (BID) atau jenazah dibawa ke hospital,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) meningkat kepada 908 dengan 425 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, kes aktif seluruh negara pula melonjak mencecah 119,814.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

