SEORANG pegawai polis ditemukan meninggal dunia dalam bilik tidur utama di kediamannya di Jalan Kampung Nangka, Kuching, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Azari Miskon memberitahu, pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan berusia 45 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh isterinya.
Menurut Azari, isteri mangsa telah melaporkan kejadian itu kepada polis kira-kira pukul 8.30 malam selepas menemui suaminya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, sepasukan anggota Balai Polis Sungai Merah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sibu telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
“Siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam bilik tidur utama di tingkat dua sebuah rumah separuh berkembar di Jalan Kampung Nangka.
“Pemeriksaan mendapati tiada kecederaan luaran lain pada tubuh mangsa selain tiada tanda pergelutan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azari memaklumkan, siasatan mendapati mangsa dipercayai mengalami masalah kesihatan mental sejak awal tahun ini.
Beliau berkata, mangsa disyaki pernah mendapatkan rawatan di klinik swasta serta hospital bagi mendapatkan bantuan perubatan.
Difahamkan, mangsa mempunyai rekod menerima rawatan psikiatri dan kali terakhir berjumpa pakar di Hospital Sarikei pada 20 Mei lalu sebelum dijadualkan menghadiri temu janji susulan pada 16 Jun ini.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan bedah siasat dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan diteruskan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

