Percubaan penyanyi Shiha Zikir keluar dari zon selesa menerusi lagu Aewo ternyata berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai penerima trofi Pop Asia Terbaik dalam acara InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menurut Shiha atau Nur Shila Mohd. Zikir,33, dia bagaikan sedang bermimpi saat dimaklumkan oleh pihak pengurusan mengenai kemenangannya itu.

“Sejujurnya macam tak percaya dengan berita kemenangan itu. Tapi selepas dimaklumkan dan ditenangkan syarikat pengurusan Todak Music, saya sedar, okay ini bukan mimpi.

“Ikutkan lagu ini saya dimaklumkan pencalonannya sekitar seminggu lalu. Alih-alih dapat tahu lagu Aewo menang kategori berkenaan.

“Saya anggap ia satu kejayaan yang bermakna dan menyuntik semangat. Mungkin ada pandangan skeptikal terhadap anugerah sebegini. Itu biasa,” katanya kepada URTV.

Ujar Shiha, sepatutnya ICMA 2021 dijadualkan berlangsung secara fizikal di Amerika Syarikat, namun disebabkan pandemik Covid-19, majlis tersebut terpaksa diumumkan secara atas talian.

“Kecil atau besar mana pun pencapaian atau anugerah itu, ia tetap bermakna bagi saya. Semestinya anugerah ini akan saya simpan memorinya menjadi kenangan terindah sampai bila bila.

“Apa yang saya tahu anugerah ini dinilai oleh barisan juri profesional dalam bidang hiburan. Jadi ia bukan anugerah tangkap muat atau sekadar pelengkap.

“Saya sejujurnya tak meletakkan harapan untuk Aewo tetaapi tak sangka menang pula,” ulasnya.

Bercerita lanjut mengenai lagu berkenaan, Shiha akui lagu yang kedengaran seperti muzik padang pasir itu sangat istimewa kepadanya.

Ketika mempromosikan single itu, Shiha sendiri terpalit dengan pelbagai skeptikal, andaian dan rumusan netizen berkenaan lagu tersebut.

“Sebenarnya, imej saya bermata putih dan simbol segi tiga yang ditonjolkan mencetuskan pelbagai andaian. Ada yang mendakwa ia simbol Illuminati dan cabaran Lathi (transforms wajah cantik menjadi hodoh) yang tular, sebelum ini.

“Walhal semua persepsi itu tidak benar. Masa rakamkan single ini, Ezra ada terfikir mahu meletakkan pelbagai cadangan judul. Nak letak tajuk Jampi, tetapi sudah ada lagu nyanyian Hael Husaini.

“Secara kebetulan, dalam lirik ada menyebut perkataan bunyi ‘ala’, ‘ae’ dan ‘wo’ , jadi akhirnya disingkatkan menjadi judul lagu. Aewo diibaratkan seperti menjampi atau menyihir seseorang,” katanya

Kejayaan lagu berkenaan diiringi mesej dan ucapan tahniah daripada rakan artis di akaun media sosial miliknya.

ICMA kali pertama dianjurkan sejak 2011 adalah pengiktirafan yang dibuka kepada bakat muzik dari pelbagai benua termasuk Asia, Afrika, Eropah, Amerika Selatan dan Amerika Utara.

Malah, penganjuran acara berkenaan turut dinantikan penggiat seni muzik global kerana ia memartabat kan serta menyokong kepelbagaian genre muzik di seluruh dunia.