DEMI survival hidup, penyanyi dangdut, Amelina tidak kisah bermandi peluh menyiapkan tempahan makanan yang diusahakan sejak penularan Covid-19.
Akur dengan situasi semasa yang tidak mungkin mengizinkan dirinya untuk kembali berkerja di lapangan seni sebagai penghibur buat sementara, justeru Amelina perlu mencari jalan bagi meneruskan kelangsungan hidup bagi menyara keluarga.
Sejak 29 Jun lalu, perniagaan kecilnya itu mendapat sambutan pembeli yang menyukai juadah air tangannya iaitu nasi ayam Rindu dan nasi minyak Asyik.
Pengalaman pernah hidup susah dahulu membuatkan ibu tunggal kepada enam cahaya mata membuang jauh perasaan malu dan pandangan orang ramai.
“Dahulu sekadar masak untuk makan sendiri bersama anak-anak saja. Tapi sekarang, saya memasak untuk pelanggan dan ia satu nikmat berbeza.
“Pada mulanya, saya akui dibayangi rasa takut…bimbang tak menjadi atau tiada sambutan. Malah, kali pertama menjual juadah, saya tak promosikan dalam media sosial.
“Saya cuba buka tempahan untuk 15 bekas. Tapi saya optimis rezeki manusia itu akan ada diiringi usaha,” katanya kepada URTV.
Kata Amelina, dia bersyukur kerana usahanya itu mendapat sambutan daripada peminat yang menyokong perniagaannya.
“Peminat banyak membantu saya…mrekalah yang memberi saya semangat. Mereka kata buat saja, nanti boleh buat tempahan.
“Dari situ mereka memuji kata sedap dan mula berkongsi dengan orang lain di media sosial. Ada yang berulang kali membuat tempahan
“Hari demi hari, tempahan mula meningkat. Daripada masak untuk 10 orang sebelum ini, kini saya cabar diri untuk siapkan 50 bekas dalam satu hari.
“Tak hanya peminat dan pengikut di media sosial, rakan artis pun turut menyokong dengan membeli,” ujarnya.
Paling mengharukan hati penyanyi lagu Di Dadaku Ada Kamu itu ialah apabila ada individu termasuk peminat dari jauh mahu membeli air tangannya itu.
“Ada yang buat saya tersentuh hati biarpun tinggal jauh dari Kuala Lumpur dan Selangor, tapi tetap nak beli dan menyokong. Saya pun suka cara begini, tak perlu beri bantuan wang. Tapi cukup dengan membeli makanan yang saya jual.
“Ada yang duduk di Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka, dan Sarawak sanggup buat tempahan untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Malah ada yang beli untuk diagihkan kepada pekerja barisan hadapan,” katanya.
Amelina berkata, buat masa ini dia hanya menetapkan Selasa untuk tempahan nasi ayam, manakala Khamis dan Jumaat pula nasi minyak.
“Setakat ini saya buka tempahan dua hari dalam seminggu. Itupun, rezeki saya sampai tak menang tangan.
“Saya pun berserah dalam hal berniaga. Allah sudah tetap kan rezeki masing masing.
“Apa yang lebih utama biarpun pek pembungkusan kedua-dua jenis nasi ini nampak biasa, apa yang lebih utama adalah rasa…biar pelanggan rasa berbaloi membeli.
“Ketika ramai yang bergelut sekarang ini, bukan senang orang nak keluarkan duit untuk membeli itu dan ini. Jadi, saya niat memasak sehabis baik dan penuh kasih sayang.
“Kadangkala, saya tak fikir pun bab terlebih kuantiti atau bahagian tertentu seperti ayam. Saya anggap itu cara bersedekah,” tuturnya.
Menamakan jenis menu makanannya daripada judul lagu dangdut yang pernah dipopularkannya, dedah Amelina, dia menggunakan resepi nasi minyak ibunya.
“Macam resipi nasi minyak, saya belajar daripada mak. Setiap kali kedatangan Aidilfitri, mak akan memasak menu tersebut…nak masak menu ini memang leceh.
“Jadi saya selama ini ambil kesempatan melihat cara mak memasaknya termasuk berkongsi resepi.
“Nasi ayam pula, saya memang menyukainya. Kalau makan di restoran, saya banyak memerhati proses penyediaannya.
“Jadi apabila mula berniaga, saya akan olah ikut sedap dan rasa hati. Contohnya, bagaimaan melembutkan ayam sampai tahan ke malam. Saban hari saya memperbaiki rasanya,” kata Amelina yang turut mengubah lagu Memori Daun Pisang kepada Memori Lockdown bagi memberi motivasi kepada masyarakat.
Amelina kini berjauhan dengan empat anaknya yang bersekolah dan tinggal bersama ibunya di Nilai, Negeri Sembilan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dikuatkuasakan. Hanya dua anak tinggal bersamanya saat ini.
Mereka yang berminat untuk membuat tempahan masakannya boleh menghubungi menerusi WhatsApp di talian 019-8915509 atau ke Instagram @amelinaamirsharipuddin.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

