PENYANYI, Shiha Zikir mengambil pendekatan berani dengan menolak trend lagu jiwang klise menerusi pelancaran single terbaharunya yang berjudul Mula.
Kolaborasi eksklusif bersama penulis lirik serta pempengaruh terkenal, Hafizul Faiz, naskhah itu direncanakan sebagai sebuah karya berjiwa besar yang mengangkat tema motivasi, kebangkitan, dan keberanian mendepani fasa sukar dalam kehidupan.
Diterbitkan hasil kerjasama strategik (joint venture) antara Shiha Zikir Empire dan Sony Music Malaysia, Mula hadir pada waktu yang tepat bagi mendepani realiti masyarakat hari ini yang rata-ratanya sedang bergelut mencari kekuatan untuk membina semula sisa keyakinan diri yang berbaki.
Terjemah Trauma Menjadi Azimat Kebangkitan
Keunikan naskhah ini terletak pada kekuatan liriknya yang ditulis sendiri oleh Shiha dan Hafizul.
Gabungan dinamik ini melahirkan baris ayat yang sangat jujur kerana ia digali terus daripada lensa pengalaman peribadi, pergolakan emosi, serta pahit manis realiti yang pernah mereka tempuhi sebelum ini.
Mendapat sentuhan magis daripada komposer prolifik, Hafiz Hamidun, lagu ini dibalut kemas dengan susunan melodi balada moden yang minimalis.
Pendekatan itu sengaja dipilih bagi memberi ruang kepada bait-bait liriknya ‘berbicara’ dengan jujur tanpa ditenggelami instrumen yang sarat.
“Lagu terbaharu ini sebenarnya langsung tiada kaitan dengan kisah percintaan sesama manusia.
“Fokus utama kami adalah tentang survival kehidupan. Ia merangkumkan fasa di mana setiap manusia pasti pernah merasai keperitan, hilang arah, sehingga mewujudkan rasa trauma dan takut untuk bermula semula.
“Namun apa yang cuba saya sampaikan ialah, kadangkala kita hanya memerlukan satu langkah kecil sahaja.
“Walaupun kecil, keberanian untuk melangkah itulah yang berkuasa mengubah keseluruhan takdir dan perjalanan hidup kita ke arah yang lebih baik,” kata Shiha penuh optimis.
Sementara itu, Hafizul selaku rakan kolaborasi menjelaskan bahawa Mula bukan sekadar sebuah projek hiburan komersial, sebaliknya ia bertindak sebagai instrumen sokongan emosi atau ‘teman’ buat mereka yang sedang berada dalam fasa buntu.
“Realitinya, ramai orang di luar sana bukannya tidak mempunyai impian atau cita-cita yang besar.
“Cabaran terbesar mereka adalah ketakutan yang menggunung untuk memulakan langkah pertama itu semula.
“Sebab itulah naskhah ini kami cipta. Kami mahu lagu ini menjadi peneman setia, sekali gus menyuntik semula kekuatan kepada mereka yang sedang berusaha keras untuk kembali percaya kepada potensi diri sendiri,” ulas Hafizul mengenai objektif tersurat di sebalik penulisan lirik tersebut.
Projek Serampang Dua Mata: Buku Sulung Di PBAKL 2026
Istimewanya, peluncuran projek Mula ini tidak hanya terhad dalam bentuk audio. Shiha membuktikan kebijaksanaan strateginya apabila melebarkan sayap ke dunia sastera menerusi penerbitan buku sulungnya yang turut menggunakan judul sama, Mula.
Buku bergenre motivasi tersebut dijadualkan bakal menemui pembaca secara rasmi sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Bagi peminat yang mahu menghayati mesej mendalam yang dibawakan oleh Shiha dan Hafizul, single Mula kini sudah boleh didengar di semua platform penstriman digital utama bermula hari ini.
Pada tarikh yang sama, video muzik rasmi yang membawakan konsep visual sinematik sarat simbolik perjuangan emosi dan harapan turut diluncurkan secara rasmi menerusi saluran YouTube Shiha Zikir Empire.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

