Seorang lelaki menahan kesakitan selepas sebentuk cincin tersangkut pada jarinya dalam satu kejadian di Lahad Datu, Sabah, semalam. Foto BBP Lahad Datu


SEORANG lelaki berdepan detik cemas apabila kedua-dua tapak tangannya membengkak setelah sebentuk cincin buatan tersangkut pada jari manis tangan kanannya, dalam satu kejadian dekat Sabah, petang semalam.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dalam satu kenyataan berkata, berikutan itu, mangsa yang berusia 43 tahun dari Kampung Paris 3, Kota Kinabatangan datang ke Hospital Daerah Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

Seorang lelaki menahan kesakitan selepas sebentuk cincin tersangkut pada jarinya dalam satu kejadian di Lahad Datu, Sabah, semalam. Foto BBP Lahad Datu

Katanya, BBP Lahad Datu kemudiannya menerima panggilan dari unit kecemasan Hospital Lahad Datu yang memohon bantuan untuk melepaskan cincin pada jari mangsa dan tiba di lokasi pada pukul 3.06 petang.

“Pasukan bomba kemudiannya memotong cincin tersebut menggunakan pemotong khas (mini grinder). 

“Selepas hampir 20 minit berusaha akhirnya cincin dapat dipotong dan dilepaskan dari jari mangsa,” kata kenyataan BBP Lahad Datu dalam hantaran Facebook, semalam.

Operasi menyelamat mangsa ditamatkan sebaik cincin berkenaan berjaya dibuka dan mangsa terus mendapatkan rawatan lanjut di hospital terbabit.

Sementara itu, pihak bomba menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan peka dalam pemakaian cincin.

Katanya, sekiranya terdapat tanda-tanda jari akan membengkak, cincin hendaklah dilepaskan dari jari dengan segera untuk mengelakkan ia tersangkut.

“Sekiranya terdapat tanda-tanda jari akan membengkak maka cincin hendaklah dilepaskan dari jari dengan segera untuk mengelakkan ianya tersangkut,” tambah kenyataan itu.