MASIH lagi dalam suasana Aidiladha, kali ini kami ceritakan kisah keajaiban air zam-zam. Umat Islam sememangnya sudah tahu khasiat air zam-zam ini. Dari zaman jemaah haji Malaysia pergi ke Mekah naik kapal laut lagi, cerita tentang khasiat air zam-zam sudah bermain di bibir. Selain boleh menyembuhkan segala macam penyakit, ia dikatakan sebagai air penawar yang penuh dengan keberkatan.

Ini kisah tentang pengalaman Tariq Hussain dari Riyadh, seorang penyelidik iaitu jurutera kimikal yang pakar di dalam merawat air laut sebagai air minum.

Sejak ditemui kira-kira 4000 tahun lalu, tiada sebarang kajian dilakukan ke atas telaga zam-zam kerana orang Islam percaya, itulah salah satu keagungan Tuhan dari tinggalan kisah Siti Hajar bersama anaknya, nabi Ismail.

Telaga zam-zam.

Idea untuk meneroka telaga zam-zam tercetus pada 1971 apabila seorang doktor di Mesir telah menghantar surat ke Eropean Press, mendakwa air zam-zam tidak sesuai di minum.

Alasannya Kaabah terletak di kawasan lembah di bawah paras laut dan terletak di tengah-tengah Kota Mekah. Pada andaiannya, segala air kotoran dari seluruh bandar itu akan berkumpul di dalam telaga zam-zam.

Kenyataan akhbar itu menimbulkan kemarahan Raja Faisal kerana ada cubaan untuk memburukkan air zam-zam. Lalu Menteri Pertanian dan Sumber Air diarahkan untuk membuat siasatan yang bertujuan menolak dakwaan provokatif doktor itu. Di situ bermula cerita Tariq Hussain memulakan kajiannya. Ini cerita Tariq Hussain…

“Saya diberi tugas untuk memeriksa dan membuktikan bahawa air zam-zam suci dari segala kekotoran dan sesuai diminum. Ketika tanggungjawab itu diserahkan ke bahu, fikiran saya benar benar kosong. Tidak dapat dibayangkan bagaimana rupa telaga itu. Setelah merujuk kepada pihak berkuasa di Kaabah dan atas arahan raja, maka saya dibawa ke telaga zam-zam.

“Apabila berada di telaga zam-zam, sukar untuk dipercayai, telaga yang sebesar kolam itu, boleh membekalkan berjuta gelen air sewaktu musim haji sejak 4000 tahun lalu. Penyiasatan dimulakan di telaga yang hanya berdiameter 1.46 m x 2.66 m.

“Seorang lelaki yang diarahkan oleh pihak berkuasa untuk membantu saya terus terjun ke dalam telaga zam-zam sejurus saja dia membersihkan dirinya. Paras air naik hingga ke paras bahunya. Lelaki itu mempunyai ketinggian 182cm.

“Lelaki itu berjalan dari satu sudut ke sudut yang lain untuk mencari saluran atau paip yang menyalurkan air ke dalam telaga. Tetapi lelaki itu tidak menjumpai apa-apa.

“Saya mula terfikir, bagaimana pula kalau pam berkuasa tinggi digunakan untuk mengeluarkan air dari dalam telaga ini. Hanya cara itu saja saya dapat melihat dari mana sumber air itu mengalir masuk.

“Percubaan kali pertama untuk mengepam air zam-zam keluar tidak berjaya menunjukkan apa-apa. Punca airnya masih tidak dapat diketahui. Kemudian saya mengarahkan lelaki itu berdiri di dalam telaga sewaktu airnya disedut keluar.

“Alhamdulillah! Dah jumpa!” jerit lelaki itu. Kelihatan pasir halus menari-nari di dasar telaga sewaktu air terus meleleh keluar dari celah-celah dinding telaga tanpa henti dan jumlahnya sama banyak yang disedut keluar. Patutlah paras air zam-zam tidak pernah berkurangan walaupun dipam keluar di dalam jumlah yang banyak. Dan airnya juga tidak pernah melimpah keluar jika tidak dipam. Paras airnya sentiasa stabil.

Air zam-zam.

“Selesai sudah tugasan berat, sekarang masanya membawa contoh air telaga untuk diuji kandungannya. Sebelum kembali semula ke Riyadh, saya sempat menyiasat semua telaga yang terdapat di Mekah. Hasilnya, saya dapati semua telaga yang ada di kota suci itu sudah lama kering airnya sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Sampai di pejabat saya membuat laporan lengkap kepada bos tentang penemuan yang diperoleh dari telaga zam-zam. Walapun amat teruja dengan cerita saya tetapi komennya tidak rasional langsung. Katanya mungkin telaga zam-zam mendapat sumber air dari Laut Merah.

“Bagaimana mungkin? Jarak antara Mekah dengan Laut Merah adalah 75km. Sedangkan telaga yang berada berhampiran dengan laut tersebut sudah kering. Inikan pula telaga zam-zam yang berada berpuluh-puluh kilometer. Alasan kukuh saya berjaya mematikan hujah yang tidak rasional. Akhirnya contoh air zam-zam dihantar ke makmal di Eropah dan sebahagian lagi diuji di makmal di Riyad.”

Begitu kisah yang diceritakan oleh Tariq Hussain semasa dia menjalankan kajian buat pertama kali terhadap telaga zam-zam.

Kedudukan telaga zam-zam.

Dari tahun ke tahun, ujian yang dilakukan ke atas air zam-zam tidak pernah berubah kandungan mineralnya. Jumlah air yang keluar dari dasar telaga antara 11 hingga 18 liter setiap saat secara purata boleh mengeluarkan 660 liter seminit, 39,600 liter sejam atau 950,400 liter sehari.

Macam- macam yang dilakukan oleh para pengkaji untuk membuktikan, telaga zam-zam adalah tanda kebesaran Tuhan. Misalnya ujian pam yang dilakukan untuk menyukat air zam-zam di dalam telaga itu. Air dipam keluar 8000 liter sesaat, paras air surut 3.23 meter hingga 13.39 meter dari permukaan telaga kemudian paras air berhenti menyusut. Bayangkan paras air zam-zam kembali kepada normal dalam masa 11 minit selepas pam berhenti menyedut air.

Banyak kajian sains turut membuktikan kebenaran seperti yang dilakukan oleh Tariq Hussain. Antaranya oleh M.A.Khan, A.K.M.Sheriff, K.M.Idris dan M.Alamgir dari Bangladesh, serta S.H.A. Careem dari Sri Lanka. Turut mengkajinya ialah Dr. Masaru Emoto dari Jepun yang berjaya menemui molekul air paling cantik dan sempurna di dunia iaitu air zam-zam.

Dr Masaru Emoto yang menemui molekul air zam-zam sebagai molekul air paling cantik dan sempurna.

Kajian saintifik membuktikan, air zam-zam adalah air yang sangat unik kerana mempunyai ciri-ciri air mineral semulajadi yang amat berkhasiat. Ia kaya dengan mineral yang paling berguna untuk badan iaitu kira- kira 2000mg setiap liter air. Berbanding dengan air telaga biasa yang hanya mengandungi mineral sebanyak 260mg per liter.

Bezanya air zam zam dengan air yang ada di seluruh dunia adalah kandungan mineralnya. Setiap mineral memainkan peranan besar dan amat penting untuk fungsi sel di dalam tubuh manusia. Sebab itu air zam-zam telah lama digunakan untuk tujuan penyembuhan dan merawat pelbagai jenis penyakit.

Air zam-zam bersifat alkali semulajadi, ia boleh meneutraliskan asid hidrolik di dalam perut dan menghilangkan pedih hulu hati. Kehadiran iodin yang tinggi cukup untuk membekalkan jumlah iodin yang diperlukan oleh kelenjar tiroid.

Air zam-zam mampu memenuhi keperluan jutaan jemaah terutama pada musim haji.

Kandungan floridanya yang banyak menjadikan air itu selamat diminum. Ini kerana peranan florida adalah untuk menghalang pertumbuhan bakteria menyebabkan air itu bebas daripada bakteria tanpa perlu dirawat atau pun ditambah klorin. Sebab itulah tidak terdapat pun lumut atau alge tumbuh di dalam telaga zam-zam yang menyebabkan rasa dan warnanya berubah seperti mana kebanyakan telaga lain.

Para saintis yang telah mengkaji air zam-zam sependapat, ia adalah air yang paling berkhasiat berbanding dengan semua air yang terdapat di muka bumi ini.

Sebagaimana disebut di dalam sebuah hadis Rasululah s.a.w yang bermaksud: “Sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit“. Riwayat – At Tabrani dan Ibnu Hibban.

_____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam