Kalau anda ke Tanah Suci, anda akan lihat sepanjang masa Hajarul Aswad dikerumuni oleh para jemaah yang mahu mengucupnya. Mereka bertolak-tolak, bukan beratur seperti yang menjadi amalan biasa kita di sini. Sebahagian daripada mereka agak kasar. Tambahan pula kalau yang berbadan besar dan sudah terbiasa dengan persekitaran hidup yang lasak.

Melihat keadaan itu, kita akan rasakan bahawa memang tidak akan ada peluang untuk kita menghampiri Hajarul Aswad. Hendak mengucupnya apatah lagi. Manakan tidak, badan kita kecil dan kita tidak biasa dengan kehidupan yang bersesak-sesak t dan bertolak-tolak. Kalau kita terjatuh, memang bahaya.

Bagaimanapun, hasrat untuk mengucup Hajarul Aswad pasti menjadi cita-cita utama setiap jemaah. Begitulah dengan saya. Sejak hari pertama menjejakkan kaki ke Mekah, saya memang sudah berniat mahu mengucupnya.

Saya akui, sebelum ke tanah suci, banyak cerita yang saya dengar mengatakan walaupun mereka ke Mekah, mereka tidak dapat mengucup batu hitam itu. Ini kerana sepanjang masa sudut yang menempatkan Hajarul Aswad dikerumuni oleh beratus-ratus jemaah. Tidak ada ruang kita hendak menyelitkan diri.

Cerita-cerita itu membuatkan saya bimbang. Tetapi saya nekad, walau apa cara sekalipun saya tetap mahu mencium Hajarul Aswad. Mesti!

Berbekalkan tekad itu, selesai melakukan tawaf sunat, iaitu selepas menyudahkan ibadah umrah pada hari pertama sampai ke Mekah, saya pergi ke penjuru Kaabah. Saya lihat kawasan itu sangat sesak.

Tidak sampai lima minit berada di situ, saya lihat makin ramai yang beratur. Mereka tolak menolak dan berebut-rebut. Saya juga lihat pengawal yang menjaga Hajarul Aswad memukul jemaah yang bertolak-tolak antara satu sama lain. Berderau darah saya menyaksikan keadaan itu.

Tidak mengapalah, saya batalkan hasrat untuk mencium Hajarul Aswad kerana orang terlalu ramai. Kalau saya beratur sekalipun, saya tidak pasti berapa lama perlu saya tunggu untuk sampai ke penjuru yang menempatkan Hajarul Aswad.

Semasa dalam perjalanan pulang ke hotel, hati saya berasa tidak senang kerana hajat saya terbantut. Saya cuba memujuk hati. Kata saya, tidak mengapa, masih ada empat hari lagi. Nanti tercapailah hajat saya itu.

ESOKNYA, saya turun dari hotel sebelum Subuh lagi. Pasti pagi ini saya dapat mencium Hajarul Aswad, saya berkata di dalam hati. Mungkin waktu pagi sebegini tidak ramai orang kerana masih nyenyak tidur.

Tetapi sangkaan saya salah. Sewaktu melangkah masuk ke dalam masjid, dari jauh lagi saya sudah dapat melihat jemaah berpusu-pusu di sekeliling Baitullah. Barulah saya tahu, bahawa Mekah adalah bandar yang tidak pernah sunyi. Tidak kira siang atau malam, setiap masa akan dipenuhi dengan manusia. 

Saya cuba menyelit, tetapi gagal untuk merapati hajarul Aswad. Jemaah sentiasa penuh dan berebut-rebut hendak menciumnya.

Saya tidak kira, saya mesti redah juga. Saya mesti mencium juga Hajarul Aswad. Saya mahu jadikannya kenangan yang terindah dalam hidup. Kalau tidak kali ini, saya tidak tahu bila Allah akan menjemput saya ke sini lagi.

Saya pun cuba menyelit untuk merapati Hajarul Aswad. Saya masuk dalam celahan ratusan manusia tadi. Tetapi apabila saya sudah makin ke depan dan ke depan, tiba-tiba ada tangan menarik saya. Saya ditarik dan ditolak-tolak ke belakang. Akhirnya saya kembali ke belakang semula.

Saya tidak puas hati, sekali lagi saya cuba masuk. Tapi baru sahaja saya mahu mencelah, terdengar suara azan subuh berkumandang. Pada mulanya saya tunggu lagi di situ. Manalah tahu apabila terdengar azan semua jemaah meninggalkan Hajarul Aswad, dapatlah saya mengucupnya seketika.

Tetapi walaupun azan sudah selesai, tidak ada tanda-tanda mereka akan beredar. Hampa betul saya. Saya selesaikan solat subuh dahulu dan kembali selepas itu.

Sekembalinya saya di situ, keadaan makin sesak. Ramai jemaah berkulit hitam mengerumuni kawasan itu. Melihat kepada susuk tubuh mereka yang tinggi dan sasa membuatkan saya gerun. Saya tahu, sekiranya saya redah sekalipun, pasti saya tidak dapat menembusi mereka.

Waktu Zuhur, Asar, Maghrib, hingga ke Isyak saya menanti, namun tetap gagal. Bukan setakat hendak mengucup, malah mendekatinya pun saya tidak mampu.

Kalau anda menjadi saya pun, anda akan kecewa. Tetapi, saya sudah bertekad, walau apa cara sekali pun, saya mesti mengucup Hajarul Aswad, barulah `sempurna’ umrah yang saya kerjakan.

Masuk hari ketiga, saya tetap tidak dapat mengucup batu hitam itu biar pun sudah mencuba berkali-kali dengan sedaya upaya saya. Semangat saya mulai lemah. Kata saya, tidak mengapalah, mungkin kali ini bukan rezeki saya. Saya pendamkan hasrat itu walaupun sebenarnya saya memang teringin sangat mahu menciumnya.

Masuk hari keempat, saya pendamkan niat saya itu. Selesai sahaja sembahyang, saya terus pulang ke hotel. Saya tidak mahu lagi menaruh harapan. Saya mula rasa kecewa. Mungkin lain masa Allah izinkan saya. Tidak kali ini.

Lagi pun usia saya masih lagi muda. Baru berumur 27 tahun. Jika diizinkan dan diberikan rezeki oleh Allah, lain masa saya akan kembali lagi ke sini.

PEMBACA SEKALIAN, sesiapa pun kalau sudah berusaha bersungguh-sungguh, tetapi tetap juga gagal, pasti akan terbit rasa kecewa. Saya pun begitu. Memandangkan hanya berbaki sehari sahaja lagi saya mahu pulang ke Malaysia, saya rasa impian untuk mengucup Hajarul Aswad hanya tinggal impian.

Waktu sudah suntuk, sedangkan jemaah sentiasa berpusu-pusu mahu menciumnya.

Saya benar-benar ingin menciumnya. Tidak putus saya berdoa kepada Allah, tetapi setiap kali mencuba, tetap gagal.

Lantas saya terus mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah moga-moga menjemput lagi saya ke sini. Kata saya, “Ya Allah! Janganlah kau jadikan kedatangan ku sini buat kali pertama dan terakhir. Jemputlah aku ke sini lagi Ya Allah…!”

Air mata saya terus gugur. Walaupun masih berbaki beberapa belas jam lagi sebelum  berangkat pulang ke Malaysia, saya telah mula sebak. Saya tidak pasti bila akan dapat ke sini semula. Kedatangan saya kali ini pun bersama keluarga.

Tiba-tiba saya teringat akan kata-kata seorang ustaz semasa saya menyertai khusus umrah dahulu, di Tanah Suci nanti mintalah apa sekalipun, pasti Allah makbulkan.

Serta-merta terfikir di minda saya, kenapa saya tidak minta dengan Allah mahu mencium Hajarul Aswad? Kenapa saya hanya berusaha saja tetapi tidak memohon pertolongan dari Allah s.w.t.?

Saya sekali lagi menadah tangan dan memohon doa kepada-Nya. “Ya Allah! Berilah aku kesempatan untuk mencium Hajarul Aswad. Aku teringin sangat ya-Allah. Kau makbulkanlah doa hamba-Mu ini.”

Selepas mengaminkan doa, saya terus bangun dan menuju ke tempat Hajarul Aswad. Sekali lagi saya cuba redah masuk. Moga-moga kali ini ada rezeki saya. Saya menyelit-nyelit di dalam kumpulan jemaah yang bersesak-sesak-sesak itu, tetapi tetap tidak berjaya.

Saya masuk kali kedua, juga gagal. Saya berasa macam hendak lemas. Dada menjadi sesak.

Akhirnya saya terus pulang ke hotel. Sepanjang kaki melangkah ke hotel, hati saya merintih kecewa. Saya bertambah sedih kerana esok kami akan bertolak balik ke tanah air.

Keinginan untuk mencium Hajarul Aswad terbawa-bawa ke dalam mimpi. Apabila terjaga dari tidur, saya terhidu sesuatu yang sungguh harum…

Malam itu sebelum tidur, saya berangan-angan keadaan di mana saya dapat mencium Hajarul Aswad. Angan-angan itu terbawa hingga ke dalam mimpi. Dalam mimpi itu saya lihat saya telah diizinkan oleh Allah dapat mencium Hajarul Aswad. Baunya sangat wangi sehingga menusuk-nusuk ke dalam hidung.

Lena saya pagi itu terjaga apabila terdengar bunyi azan subuh. Sebaik tersedar, tiba-tiba saya terhidu sesuatu yang sungguh wangi. Saya tercari-cari di mana datangnya bau itu.   

Mungkinkah ini bau Hajarul Aswad? Saya berkata-kata dalam hati. Selesai mengambil wuduk, saya terus turun ke Masjidilharam untuk solat dan kemudian melakukan tawaf widak. Bau itu masih lagi melekat di hidung saya. Harum sungguh.

Sewaktu berjalan menuju ke masjid, tiba-tiba saya telah ditahan oleh dua orang lelaki warga Afrika. Berderau darah saya. Saya tidak mengenali mereka. Apa yang mereka mahu lakukan?

Saya terus memegang kocek baju saya dan berjalan secepat mungkin menuju ke masjid. Pun demikian, apabila berpaling ke belakang, saya nampak mereka mengejar saya. Saya segera mempercepatkan langkahan masuk ke dalam masjid.

Saya bertambah takut kerana sejurus melangkah masuk ke dalam masjid, dua lelakiitu  terus terus memegang tangan  saya. Saya cuba meronta melepaskan diri namun tidak berjaya. Mereka hendak bawa saya ke mana? Mereka hendak tangkap saya, kah? Saya betul-betul takut.

Saya cuba melepaskan diri, namun tidak berhasil. Akhirnya saya terpaksa mengikut arah kaki dua lelaki Afrika berkenaan melangkah. Tiba-tiba saya perasan, mereka berdua membawa saya ke Baitullah dna kemudian terus ke penjuru tempat letaknya Hajarul Aswad!

Ya-Allah, apa yang sedang berlaku ini? Persoalan itu terus bermain di fikiran saya. Dada saya berdebar.

Dua lelaki Afrika itu terus mengawal saya dan membawa saya ke depan. Sekejap sahaja menyelit, saya nampak Hajarul Aswad berada di depan mata. Dan akhirnya, dalam waktu yang cukup singkat itu, saya sudah berada di hadapan sekali. Hanya tinggal menciumnya sahaja!

Gambar hiasan : Dua lelaki hitam itu mengheret saya ke Hajarul Aswad. Selepas menyuakan muka saya ke batu hitam itu, mereka terus menghilang.

Saya berpaling ke arah dua lelaki Afrika itu. Mereka menganggukkan kepala. Tanpa berlengah, saya terus menyuakan muka. Saat itu juga air mata saya serta-merta gugur. Inilah saat yang paling indah dan nikmat dalam hidup saya. Tidak dapat dibayangkan perasaan betapa gembira dan bersyukurnya saya ketika itu.

Saya mencium Hajarul Aswad sepuas-puasnya tanpa diganggu oleh jemaah lain. Sebaik sahaja saya mengangkat muka, dua lelaki berkulit hitam tadi  berdua sudah tidak kelihatan. Saya tercari-cari mereka untuk mengucapkan terima kasih, tetapi tidak jumpa.

Saya tidak tahu dari mana datangnya mereka dan tidak kenal siapa mereka. Ke mana mereka menghilang, saya juga tidak tahu. Bermacam-macam andaian bermain di kepada, tetapi saya tidak mahu menyatakannya.

Saya rasa sangat bersyukur kepada Allah kerana menunaikan hajat saya. Sewaktu tawaf widak air mata saya tidak henti-henti mengalir. Walaupun kaki masih lagi menjejak tanah haram, namun saya sudah merinduinya.

Selesai menunaikan solat sunat, tanpa berpaling lagi ke belakang, saya terus berlari menaiki bas. Pandangan terakhir sebelum meninggalkan Mekah memang menyedihkan. Apa yang berlaku memang tidak akan dapat saya lupakan sampai bila-bila.

Pencerita : Zuid Ikh Ral

——————————————————

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam