SELEPAS penyanyi Mark Adam dan Fizie, kini tiba giliran Deen meninggalkan stesen radio Hot FM.
Dalam satu perkongsian di Instagram miliknya, Deen atau Nordin Madian yang sudah 10 tahun berkhidmat di stesen radio terbabit telah memerima surat penamatan kontrak pada 16 Julai lalu.
“Saya telah menerima notis tujuh hari penamatan servis bertarikh 16 Julai 2021 dan hari ini, 23 Julai merupakan hari terakhir saya memberikan perkhidmatan sebagai seorang penyampai radio di Hot FM.
“Saya bersyukur dikurniakan rezeki selama 10 tahun bersama Hot FM dan kini sudah tiba masanya untuk stesen radio berkenaan membuat pertukaran barisan penyampai yang sememangnya rutin normal bagi radio swasta selari dengan selera pendengar, permintaan pasaran, pelan perniagaan dan strategi kandungan,” katanya.
Tambah Deen, dia menerima keputusan tersebut dengan profesional dan mengucapkan terima kasih kepada pihak stesen radio Hot FM.
“Karier saya bersama stesen ini bermula sejak 15 Oktober 2010 sebagai kakitangan kontrak. Bermula 1 November 2017, saya bertugas sebagai pembekal khidmat atau ‘service provider’.
“Saya terima keputusan ini dengan profesional dan berterima kasih kepada pasukan kerja Hot FM, wartawan, rakan seperjuangan dan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya selama ini,” ujarnya.
Mengenai perancangannya selepas ini, Deen bakal menyambung semula pelajaran yang sebelum ini tertangguh akibat kekangan masa.
“Paling utama sekali, saya nak daftar semula pelajaran yang tertangguh dari tahun lepas sebab jadual kelas bertembung dengan jadual bekerja.
“Oktober depan pendaftaran semester baru, jadi doakan saya,” ungkapnya lagi.
Dunia penyampaian radio sudah sebati dalam jiwanya, justeru Deen tidak kisah untuk mengintai peluang di steseb radio lain dalam bidang yang sama pada masa akan datang.
“Sejujurnya, minat dalam bidang radio masih ada. Kalau ada peluang lagi untuk berkerja dalam dunia radio sama ada sebagai penyampai radio atau jawatan lain, Insya-Allah mungkin saya akan cuba,” jelasnya.

