PELAKON veteran, Datuk Baharuddin Omar, 85, meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya di Shah Alam, sekitar pukul 6.30 petang tadi.
Berita pemergiannya pelakon yang amat popular dengan watak Anjang Aki itu disahkan oleh isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar.
Menurut Nazariah, 66, arwah suaminya meninggal dunia bukan disebabkan pandemik COVID-19, sebaliknya arwah menghidap penyakit pembuluh darah bengkak.
“Arwah baru selesai makan dan kemudiannya, masuk ke bilik untuk berehat. Saya pula ke dapur, namun saya mendapati arwah sesak nafas sebaik meninjau keadaannya dalam bilik.
“Selepas itu, arwah langsung tidak sedarkan diri. Saya dan dua anak berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir.
“Alhamdulillah, arwah pergi dengan mudah. Saya kemudiannya menghubungi anak-anak lain memaklumkan berita pemergian arwah,” katanya memetik laporan BH Online.
Dalam pada itu Nazariah berkata, cucunya yang bertugas sebagai doktor di Klang bergegas pulang ke rumah dan menjalankan ujian calitan COVID-19 kepada arwah.
“Cucu mengesahkan arwah bukan meninggal dunia disebabkan pandemik COVID-19,” ujarnya.
Allahyarham Baharuddin meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri. Jenazahnya dijangka akan dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.
Arwah mula aktif dalam dunia seni pada 1967 dan telah banyak membintangi drama dan filem sepanjang hayatnya.

