BELANJAWAN 2022 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober nanti manakala Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pula 20 September depan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.
Kata beliau, Belanjawan 2022 akan memberi tumpuan kepada tiga agenda utama iaitu memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.
Menurut Perdana Menteri, kesinambungan PPN dan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain akan diperincikan dalam pembentangan RMK-12 serta Belanjawan 2022 nanti.
“Secara keseluruhan, PPN ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial secara teratur dan berperingkat.
“Sehubungan ini, tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi norma baharu global,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Kebanyakan negeri dijangka beralih Fasa 4 PPN seawal Oktober – PM
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata kerajaan menerusi Kementerian Kewangan buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Belanjawan.
Jelas beliau, Pra-Belanjawan itu termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar akan diterbitkan Ogos depan.
“Ia selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan Belanjawan tahunan.
“Selain itu, sebagai elemen utama penyampaian maklumat mengenai pelaksanaan PPN kepada masyarakat awam, sebuah portal PPN dibangunkan sebagai pusat rujukan sehenti yang memaparkan indikator-indikator terkini serta maklumat berkaitan PPN, manfaat dan juga prosedur operasi standard (SOP) terkini dengan cara lebih mesra pengguna,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

