KEBANYAKAN negeri dijangka dapat beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) seawal bulan Oktober nanti sejajar dengan proses pemulihan dan program imunisasi yang berjalan lancar.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peralihan fasa bagi sesebuah negeri akan dinilai dan dipertimbangkan berdasarkan tiga indikator nilai ambang iaitu purata bilangan kes harian, kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan rakyat dewasa lengkap divaksinasi.
Kata beliau, Fasa 4 yang juga merupakan fasa terakhir dalam PPN bakal membenarkan aktiviti-aktiviti sosial dan ekonomi dalam suasana norma baharu selaras dengan kadar vaksinasi pada tahap 80 peratus penduduk dewasa.
Menurut Perdana Menteri, aktiviti pelancongan domestik, persembahan dengan penonton serta aktiviti sukan berkumpulan sudah boleh kembali dijalankan.
“Dari semasa ke semasa, kerajaan akan terus memantau keadaan di setiap negeri dengan rapi termasuk mengambil langkah intervensi mengikut keperluan.
“Di samping itu, kerajaan akan tetap melaksanakan penilaian risiko termasuk menilai kesediaan mana-mana negeri untuk beralih ke Fasa 2, 3 atau 4.
Baca artikel berkaitan: Darurat tak disambung, ordinan berkaitan dibatalkan – Takiyuddin
“InsyaAllah, dengan usaha berterusan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang sedang berjalan lancar, kita jangkakan kebanyakan negeri dapat beralih ke fasa keempat seawal bulan Oktober nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan PPN dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, negeri-negeri yang sudah beralih ke fasa seterusnya tidak akan berpatah balik.
Ini kerana, jelas beliau, pendekatan PPN menekankan ‘strategi keluar dan tidak berpatah balik’.
Menurut beliau, keputusan itu telah pun diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Walau bagaimanapun, manusia merancang tetapi perancangan Allah jualah sebaik-baiknya.
“Saya ingin memaklumkan, sekiranya berlaku semula peningkatan kes di negeri tersebut, kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah seperti mana dilaksanakan kini,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

