SEJAK kebelakangan ini, banyak kes melibatkan kanak-kanak telah dilaporkan.
Daripada penderaan hingga kes rogol menimpa kanak-kanak malang yang tidak berdosa telah berlaku.
Di manakah sifat kemanusiaan dan tanggungjawab individu dewasa yang sepatutnya melindungi insan kecil yang baru mengenal dunia.
Itu berlaku kepada seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia 12 tahun yang telah dirogol sebanyak dua kali.
Lebih menyayat hati, perbuatan terkutuk itu dilakukan bapa saudaranya sendiri.
Perbuatan tertuduh itu telah terbongkar selepas mangsa mengadu kepada neneknya.
Disebabkan perkara itu, seorang jurukimpal telah dihukum penjara 25 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini selepas didapati bersalah merogol kanak-kanak malang itu.
Memetik laporan Bernama.com, Hakim Manira Mohd. Nor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 27 tahun itu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol mangsa yang merupakan anak saudara kepada isterinya.
Baca artikel berkaitan: Pekebun didakwa lakukan amang seksual, rogol anak tiri sejak 2018
Bermula jenaka rogol: Guru dipindah, kini lelaki ditahan polis kerana ancam bunuh
Manira menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama serta memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tangkapan pada 21 Julai lalu.
Hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan lagi bagi pertuduhan kedua yang akan berjalan selepas selesai hukuman pertama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Karak, Temerloh antara pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari pertengahan Jun lalu dan 11 pagi pada 19 Julai lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.
Tertuduh tidak diwakili peguam merayu hukuman sebat yang lebih supaya hukuman penjara dapat dikurangkan atas alasan mempunyai anak kecil.
Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadilah Md. Ali bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan faktor tertuduh telah melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap seorang OKU pembelajaran yang telah dijaga isterinya sejak mangsa masih bayi.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

