ain
AIN HUSNIZA

ISU berkaitan gurauan guru terhadap pelajar mengenai isu rogol ini nampaknya belum reda. Sebelum ini, seorang guru telah ditukar kerana pelajar tersebut mendakwa khuatir hendak ke sekolah.

Perkembangan terbaharu ialah seorang lelaki pula ditahan polis apabila dia mengeluarkan ugutan bunuh di media sosial terhadap seorang wanita, penyokong pelajar Tingkatan 5, Ain Husniza Saiful Nizam.

Sementara itu, remaja yang baru-baru ini mendedahkan guru lelakinya didakwa membuat jenaka rogol di kelas itu, dipanggil oleh polis daerah Putrajaya semalam untuk membantu siasatan berkaitan kes ugutan tersebut.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan kepada Malaysiakini, polis telah menangkap seorang suspek di Kulim berkaitan kes ancaman bunuh di Twitter itu berikutan laporan yang dibuat oleh wanita itu di Putrajaya bulan lalu.

BERITA BERKAITAN Jenaka rogol: Tiada lagi alasan Ain tidak ke sekolah, guru berkenaan telah ditukar

Bagaimanapun, lelaki itu bukan melakukan tweet ancaman bunuh terhadap pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam tersebut seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

Difahamkan, suspek seorang lelaki berusia 20an yang berasal dari Kulim, Kedah.

“Yang kita tahan itu suspek yang Tweet kepada pengadu kes report di Putrajaya yang terima ugutan bila ia ada Tweet info isu ini dan suspek itu bukan yang direct Tweet kepada Ain…

“Ain tu dipanggil hanya untuk ambil statement saja berkaitan isu kes ia yang disiasat di IPD Sungai Buluh…

“…ada pengadu lain di Putrajaya buat laporan polis bahwa dia terima ugutan oleh netizen (suspek) di Kulim bila ia beri info komen berkaitan isu sama.

“Jadi pengadu terasa diugut oleh suspek melalui komen di Tweet tersebut.

“Statement (kenyataan) Ain perlu untuk lengkap siasatan dalam kes pengadu ini,” katanya kepada portal tersebut.

Asmadi berkata polis sedang menyiasat kes tersebut bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan saluran komunikasi yang tidak wajar dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang menetapkan kesalahan kerana ugutan bunuh.

Ain telah menyiarkan video di TikTok pada bulan April, mendakwa seorang guru lelaki telah membuat jenaka mengenai rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan.

Ini termasuk memberitahu pelajar lelaki di kelas bahawa jika mereka hendak merogol, mereka perlu menyasarkan mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram