Jenayah terhadap kanak-kanak. Ini yang patut anda lakukan!

Dari Penulis

Tidak perlu malu dan hanya berdiam diri sekiranya anak atau keluarga terdekat menjadi mangsa jenayah kanak-kanak. Berdiam diri hanya akan membuatkan pelaku lebih ganas dalam mencari mangsa.

Ini antara tip yang perlu anda terapkan kepada anak-anak.

PERATURAN SENTUHAN

Peraturan 1

Tiada sesiapa yang boleh menyentuh bahagian sulit badan anda kecuali untuk menjaga kebersihan dan kesihatan. Tiada sesiapa yang boleh menyuruh anda menyentuh bahagian sulit badan mereka.

Peraturan 2

Sekiranya anda merasa keliru atau tidak selesa tentang apa-apa cara sentuhan, cakap TIDAK, LARI dan BERITAHU.

Peraturan 3

Beritahu kepada orang dewasa yang boleh dipercayai dan teruskan usaha beritahu sehingga anda mendapat pertolongan.

KATAKAN ‘TIDAK’

Kebiasaannya, orang yang tidak dikenali akan mengambil kesempatan dengan menghulurkan gula-gula dan hadiah atau mereka-reka cerita untuk menarik perhatian kanak-kanak.

Katakan: “Tidak” atau “Tolong jangan ganggu saya” dan tinggalkan tempat itu secepat mungkin. Jangan mengambil apa-apa daripada orang yang tidak dikenali tanpa kebenaran ibu bapa anda.

HINDARI KAWASAN SUNYI

Jangan bermain di bangunan yang terbiar atau kawasan yang terpencil. Elakkan daripada mengambil laluan pintas untuk ke mana-mana sahaja termasuk ke sekolah, padang permainan, taman atau lorong-lorong. Kawasan sebegini hanya akan mengundang orang yang tidak dikenali untuk mengganggu atau menghampiri anda.

ANDA MEMPUNYAI:

Hak bersuara.

Hak meminta bantuan.

Hak dihormati.

Hak perlindungan.

MINTA BANTUAN

Sesat? Minta bantuan daripada mereka yang berpakaian seragam. Sekiranya anda terpisah daripada keluarga semasa di pusat membeli- belah atau kedai, anda boleh meminta bantuan daripada mereka yang memakai pakaian seragam seperti polis, pengawal keselamatan, juruwang kedai atau orang dewasa yang bersama anaknya.

TIP ELAK JADI MANGSA JENAYAH

Berikut adalah panduan bagi mencegah jenayah terhadap kanak-kanak yang dipetik dari ada sebuah buku kecil yang diedarkan kepada kanak-kanak sekolah rendah di Malaysia.

Ia diterbitkan dengan kerjasama Kumpulan Perbankan RHB, Polis Diraja Malaysia           dan Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertujuan memberi panduan kepada murid-murid sekolah, ibu bapa dan para guru tentang cara untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

NOMBOR TELEFON

Ingat dan hafal nombor-nombor telefon bimbit ibu bapa atau ahli keluarga yang terdekat. Atau nombor telefon rumah serta alamat rumah. Ini dapat membantu sekiranya anda hilang atau terpisah daripada keluarga anda. Anda juga boleh menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan.

SISTEM BUDDY

Keselamatan kita lebih terjamin sekiranya kita didampingi teman atau sekumpulan rakan-rakan. Orang yang tidak dikenali suka menghampiri kanak-kanak yang berseorangan. Jadi, jangan biarkan diri anda tanpa ditemani sesiapa. Ibu bapa, kakak, abang atau kawan-kawan boleh dijadikan teman (buddy)

PAKAI PAKAIAN BERWARNA CERAH

Pakailah pakaian yang berwarna cerah atau yang senang dikenali oleh ibu bapa anda. Ini akan memudahkan mereka mengenali anda ketika berada di tengah-tengah kelompok orang ramai sekiranya anda tersasar jauh daripada penglihatan mereka.

JERIT UNTUK MINTA BANTUAN

Sekiranya ada orang menarik anda menaiki kereta atau memasuki bangunan secara paksa, jeritlah sekuat hati; “Tolong! Saya tidak kenal orang ini!” Penculik tidak dapat bertindak sekiranya ramai orang yang memerhati.

JANGAN PAPARKAN NAMA ANDA

Jangan paparkan nama anda di luar beg sekolah, kelengkapan atau pakaian anda. Ia akan memudahkan orang yang tidak dikenali untuk berpura-pura menjadi kawan setelah mengetahui nama anda.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sakit tulang.. Simptom biasa atau petanda kanser?

Oleh : Pakar Bedah Ortopedik & Traumatologi serta Felo Ortopedik Onkologi di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB),...

More Articles Like This