DOKTOR kontrak yang menyertai perhimpunan mogok pekerja atau gerakan Haltar semalam boleh dikenakan tindakan tatatertib dan diberikan surat tunjuk sebab.
Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, sebagai doktor mereka terikat kepada etika profesional iaitu sumpah hipokratik yang diambil oleh semua pengamal perubatan.
Beliau berkata, pihaknya akan meminta mereka yang menyertai gerakan itu memberikan surat tunjuk sebab atas pelakuan tersebut.
“Doktor ini kena mengorbankan dirinya demi kepentingan pesakit dan bukan mengorbankan pesakit demi diri mereka.
“Jadi doktor ini menolong orang dalam kesusahan tanpa mengambil kira kepentingan diri,” katanya memetik laporan Kosmo!.
BERITA BERKAITAN CUEPACS rayu tiada tindakan terhadap doktor kontrak sertai mogok, khidmat mereka amat diperlukan
Beliau berkata, doktor kontrak itu tidak sepatutnya terpengaruh dengan sebarang hasutan menyertai hartal itu berikutan kerajaan sendiri juga telah melanjutkan tempoh kontrak sebelum ini.
“Kita bekerja bukan untuk glamor. Kerja doktor ini mulia dan jangan campak profesion kedoktoran sehingga dipandang hina oleh masyarakat.
“Ilmu pengetahuan kedoktoran banyak diperolehi semasa bekerja di sektor awam yang menerima pelbagai kes dan boleh digunakan untuk kemudian hari,” katanya.
Terdahulu, lebih 20 pegawai perubatan di HTAR menyertai gerakan Hartal Doktor Kontrak yang berlangsung secara aman selama 15 minit.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menegaskan tiada tangkapan mahupun siasatan setakat ni kerana tiada terkesan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Semalam, ratusan doktor kontrak kerajaan di seluruh negara, termasuk di HTAR, mengadakan mogok kerja dengan berhenti melakukan tugasan dan keluar beramai-ramai serentak pada jam 11 pagi.
Selepas berbulan-bulan melobi, kerajaan pada 23 Julai lalu menawarkan untuk melanjutkan kontrak mereka tetapi masih tidak menawarkan jawatan tetap.
Namun, kerajaan berjanji untuk memastikan doktor kontrak juga menikmati faedah serupa dengan doktor tetap.
Hartal Doktor Kontrak menyifatkan tawaran kerajaan itu “separuh masak” menegaskan lanjutan kontrak bukan penyelesaian terhadap tuntutan untuk jawatan tetap. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

