MASIH ingatkah anda dengan kisah Mohammad Ashraf atau Acap yang hilang ketika menyertai sebuah larian di Gopeng, Perak pada Mac 2019? Kisah itu antara kejadian yang menggemparkan.

Pelbagai misteri dan teori dikaitkan dengan kehilangan Acap. Namun, sehingga kini Acap masih belum ditemui dan kehilangannya kekal misteri, menjadi tanda tanya semua orang.

Kehilangan Acap sehingga kini jadi tanda tanya.

Tetapi sebenarnya sebelum kisah Acap, sudah banyak berlaku kes kehilangan yang tidak ditemui.

Anda ingat lagikah pada Ting Song Sheng?

Kalau anda masih ingat, jika Song Sheng masih hidup hari ini, usianya kini sekitar 35 tahun. Namun sampai sekarang, Song Sheng yang hilang pada 15 Januari 1996, masih tidak ditemui. Di mana dia?

Jika anda tidak tahu atau sudah lupa, Song Sheng hilang ketika menunggu bas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina), Taman Rasah di Klang, Selangor, untuk pulang ke rumahnya.

Ada pihak mendakwa dia telah dilarikan sindiket lalu dijadikan pengemis di Thailand. Tapi kalau benar, mengapa sampai sekarang pihak berkuasa negara berkenaan gagal mengesannya?

Gan Kim Choo dan isterinya, Tin Kuwi Diun telah menghabiskan wang sebanyak RM40,000 untuk mencari Song Sheng, termasuk menggunakan khidmat 80 orang bomoh, namun semuanya hampa.

Ting Song Sheng tidak pernah ditemui. Di mana dia berada?

Apa sebenarnya yang berlaku kepada Song Sheng? Ada juga yang membuat teori mengatakan kanak-kanak itu telah dibawa ke alam lain. Pelik, bukan?

Kehilangan Song Sheng memang misteri, tapi kes kehilangan seorang kanak-kanak bernama Zulaiha Muhamad di Kampung Gantuk, Mentakab, Pahang, pada 28 November 1998 lebih pelik.

Ketika kejadian umur Zulaiha enam tahun. Pagi itu Zulaiha bermain dengan adiknya, Muhamad Nur Rahman, di bawah pokok jambu mawar di halaman rumahnya. Umur Muhamad Nur baru 2 setengah tahun. Ibu mereka, Kamariyana Osman pula sibuk menyapu sampah.

Oleh kerana sakit perut, Kamariyana tinggalkan mereka dan pergi ke tandas. Namun sekembalinya ke halaman, Kamariyana dapati Zulaiha tiada.

Ke mana hilangnya Zulaiha?

Kisah Zulaiha pernah disiarkan dalam Mastika.

Muhammad Nur berlari datang dari balik sebatang pokok sambil menjerit-jerit. Dia menangis dan memberitahu bahawa kakaknya itu jatuh di pangkal pokok jambu tersebut.

Kalau setakat jatuh, mengapa Zulaiha tiada di situ? Muhamad Nur tidak dapat berikan jawapan. Kamariayana mencari di sekeliling pokok itu, hampa.

Usaha mencari dilakukan segera. Pihak polis menghantar anjing pengesan, beberapa buah bot dan helikopter untuk menyusuri sungai Semantan yang terletak 200 meter dari rumah Kamariyana. Namun Zulaiha tidak ditemui. Selepas lebih hampir dua minggu berusaha, operasi itu dihentikan.

Bagaimana Zulaiha boleh ghaib dalam waktu yang begitu cepat?

Ada yang mengatakan Zulaiha pergi ke sungai Semantan dan lemas. Kalau benar begitu, kenapa tiada seorang jiran pun yang nampak sedangkan Zulaiha memerlukan kira-kira 10 minit untuk ke sana. Tambahan pula Zulaiha tidak pernah pergi ke sungai tersebut. Kalau dia ke situ, tentulah bersama Muhamad Nur.

Dia lemas di sungai?

Kalau benar, kenapa tidak ada kesan tapak kaki, seliparnya mahupun kesan tergelincir di tebing sungai? Mengapa mayatnya tidak dijumpai? Pihak polis sendiri dalam siasatan mereka menafikan Zulaiha pergi ke Sungai Semantan.

Zulaiha diculik? Soalnya, mengapa ramai jiran yang pagi itu berbual dan mengemas halaman tidak melihat kejadian tersebut. Juga tidak kedengaran langsung suara jeritan, raungan atau kesan pergelutan.

Kedua, kenapa Muhamad Nur tidak diculik sekali? Muhamad Nur juga tidak memberitahu pun ada orang yang membawa Zulaiha pergi.

Ke mana Zulaiha menghilang? Ramai mengatakan dia telah dibawa ke alam lain.

Andaian yang tinggal ialah, ada pihak mengatakan Zulaiha telah dibawa ke alam lain. Dia telah disedut masuk ke dunia ghaib oleh makhluk halus yang tinggal di pangkal pokok jambu mawar tersebut.

Pelik, bukan? Memang tidak masuk akal. Tunggu, dengar dulu cerita bapanya…

Kata Muhamad Petah, berlaku kejadian-kejadian aneh sebelum Zulaiha hilang. Pertama, anaknya, Siti Rofeah pernah terhidu bau wangi di pangkal pokok tersebut dan bau itu melekat pada badannya selama beberapa hari.

Esoknya, seekor kucing mereka enggan masuk ke rumah dan hanya mahu tidur di bawah pokok berkenaan. Seorang bomoh yang cuba mencari Zulaiha pula tiba-tiba berasa tubuhnya bagaikan ditarik oleh suatu kuasa ghaib ke arah pangkal pokok jambu itu. Puas dia mengelak hingga tubuhnya terpelanting.

Bomoh itu percaya, di situlah tempatnya Zulaiha ditarik masuk ke alam ghaib yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar.

Pelik? Misteri? Atau anda rasa semua ini karut?

Sudah 23 tahun Zulaiha ghaib, tidak ditemui sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan Song Sheng dan Acap. Ke mana mereka pergi? Diculik atau ‘disedut’ ke alam lain?

Setiap orang ada teori tersendiri. Terserah anda untuk membuat penilaian sendiri.

Benarkah mereka ghaib disedut ke alam lain yang tidak mampu dilihat mata kasar manusia?

________________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam