Didi & Friends dan WWF-Malaysia, bekerjasama dalam usaha memberi pendidikan kepada kanak-kanak akan kepentingan menyelamatkan orang-utan
SYARIKAT yang bertanggungjawab mengangkat lagu-lagu popular dan animasi pra-sekolah, Digital Durian dengan sukacitanya melancarkan sebuah lagu baharu berjudul “What Would You Do” bersempena dengan sambutan Hari Orang-utan Antarabangsa pada 19 Ogos ini.
Ketua Pegawai Operasi Digital Durian, Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian menjelaskan bahawa lagu baharu tersebut merupakan kolaborasi istimewa bersama WWF-Malaysia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar.
“Sebelum ini pada 2020, Didi & Friends buat julung kalinya melancarkan sebuah lagu berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar yang berjudul, “Even I Know That”, bersama dengan Takkan Tak Tahu yang mana kedua-dua lagu tersebut telah menyaksikan penerimaan menggalakkan dan ditonton ramai rakyat Malaysia khususnya, dengan merekodkan jumlah tontonan sebanyak 14 juta di saluran YouTube Didi & Friends.
“Mengulangi formula kejayaan dan misi yang sama, besar harapan kami agar menerusi lagu “What Would You Do” dapat mendidik dan mendorong kanak-kanak untuk turut sama menyedari akan hakikat ‘rumah’ kita ini turut merupakan ‘rumah’ kepada hidupan liar lain.
“Kanak-kanak perlu diberikan pendidikan awal untuk sama-sama bergandingan memelihara haiwan-haiwan yang hampir pupus dan kita tidak boleh memusnahkan habitat sedia ada mereka. Lagu ini turut didatangkan dalam Bahasa Melayu, Buatlah Sesuatu dengan objektif utama untuk menyeru peminat-peminat Didi & Friends khususnya turut sama membantu memelihara orang-utan. Kami akan menggunakan watak animasi Pak Atan sebagai duta untuk mendidik peminat-peminat cilik kami mengenai kempen ini,” katanya.
Muzik video ini akan menceritakan kisah orang utan cuba menyelamatkan diri masing-masing dari hutan yang didiami mereka dengan latar dramatik memperlihatkan jentolak dan kenderaan pengorek menghancurkan ‘rumah’ sedia ada mereka serta memusnahkan pokok-pokok di sekelilingnya.
Walaupun orang utan diancam kemusnahan dan pemecah-belahan habitat, WWF-Malaysia tetap teruja untuk memaklumkan di sini bahawa dengan kerjasama dan sokongan rakan-rakan strategik serta mereka yang berkaitan, jumlah keseluruhan orang utan di Malaysia kini adalah stabil.
Kejayaan ini dicetuskan oleh usaha pemuliharaan yang dilaksanakan oleh banyak pihak, penjagaan hutan oleh pihak badan pengurusan berkaitan, dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan untuk memupuk kesedaran ramai akan kepentingan memelihara hidupan liar. Demi memastikan jumlah orang utan yang diselamatkan ini kekal berada pada paras stabil, kita perlu pastikan usaha murni ini diteruskan dari masa ke masa.
Dalam pada itu, Pengarah Kreatif Didi & Friends, Khairul Ammar, berkata, pihaknya menggunakan latar lagu yang ‘catchy’, senang untuk diingati, disertakan dengan lirik yang ringkas dan animasi yang penuh dengan warna-warni agar ia dapat menepati citarasa kanak-kanak yang menonton.
“Kami menggunakan karakter seekor anak orang utan agar ia mampu memudahkan penonton kanak-kanak memahami dengan lebih jelas isu yang dihadapi orang utan dari kaca mata haiwan ini sendiri. Lagu ini menyeru kanak-kanak untuk berfikir dan bertindak sama membantu memulihara haiwan liar ini.
“Menerusi kolaborasi bersama WWF-Malaysia ini, kami berharap agar dapat menyasarkan lebih banyak pihak dan mudah-mudahan di masa hadapan kita akan memiliki persekitaran yang lebih hijau, segar, dan mampu menyelamatkan lebih banyak haiwan untuk tatapan generasi akan datang.
“Kami ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada Digital Durian di atas usaha mereka membantu memupuk kesedaran dan sokongan di kalangan orang awam akan kepentingan memulihara haiwan seperti orang utan dengan cara pendekatan yang lebih menyeronokkan menerusi sebuah lagu istimewa dengan pembabitan watak-watak animasi Didi & Friends.
“Kita semua perlu bergandingan bahu dan bekerjasama untuk melindungi hidupan liar terutamanya yang makin pupus seperti orang utan Borneo ini kerana haiwan ini mempunyai keutamaan penting dalam rantaian ekosistem perhutanan,” ujarnya.
Ketahui lebih lanjut lagi mengenai cara-cara anda boleh membantu dengan pemuliharaan orang utan dan inisiatif penghutanan semula di wwf.org.my/orangutan
Lagu Buatlah Sesuatu akan dilancarkan secara rasminya pada 16 Ogos ini di saluran Astro Ceria (CH611). Manakala pelancaran di platform YouTube untuk kedua-dua versi akan diadakan pada 19 Ogos, di saluran YouTube Didi & Friends.

Untuk menggalakkan peminat turut sama bertindak dalam usaha menyelamatkan habitat orang utan, bersempena dengan pelancaran lagu terbaharu ini, Didi & Friends dengan ini menjemput peminatnya untuk menyertai pertandingan #PokokPakAtan.
Peminat cilik dijemput untuk menanam sebatang pokok untuk diri masing-masing atau untuk Pak Atan dan tag penganjur ketika dalam durasi pertandingan. Anda kemudiannya berpeluang untuk memenangi hadiah barangan cenderahati menarik dari Didi & Friends dan WWF-Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan #PokokPakAtan, nantikan pengumuman seterusnya di laman-laman rasmi media sosial Didi & Friends.

