SELEPAS kematian isteri tercinta iaitu penyanyi Siti Sarah akibat wabak Covid-19, pelawak popular Shuib Sepahtu akui memikul tanggungjawab besar dalam membesarkan empat orang anaknya.
Paling mencabar, Shuib perlu bersedia mengambil alih tugas arwah isterinya untuk menguruskan jadual anak-anak disamping perlu memberi perhatian kepada zuriat bongsunya, Ayash Affan yang dilahirkan 6 Ogos lalu.
Menurut Shuib atau Shahmira Muhamad,37, paling merungsingkan apabila dia diminta untuk membawa susu ibu ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) seperti yang diminta oleh doktor yang merawat bayi pramatangnya itu.
“Bab susu ibu ini memang buat saya termenung sekejap. Sekarang Ayash minum susu tepung di hospital.
“Cuma doktor ada beritahu kalau ada susu ibu boleh bawa ke hospital dan beri Ayash minum.
“Sejujurnya ramai pihak yang menawarkan diri untuk memberi susu mereka termasuklah pelakon Syatilla Melvin iaitu isteri kepada Shaheizy Sam.
“Cuma saya tak tahu sangat macam mana caranya itu…saya kena tanya Ustaz dahulu,” katanya ketika ditemui pada majlis tahlil dan bacaan Yassin untuk arwah Siti Sarah yang diadakan secara maya, semalam.
Terdahulu penyanyi lagu Kesetiaan itu disahkan meninggal dunia di HCTM pada Isnin lalu.
Allahyarham yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pada Khamis lalu akibat tahap oksigen menurun kemudian ditidurkan sebelum menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan pada Jumaat lalu.
Siti Sarah dan Shuib berkahwin pada 2011 juga mempunyai tiga cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.
ARTIKEL BERKAITAN : [VIDEO] Al-Fatihah, Siti Sarah meninggal dunia

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

