LAGU berhantu Seribu Tahun dendangan Imran Ajmain sudah berusia lebih sedekad. Malah hingga kini lagu yang pernah menjadi runut bunyi drama Kerana Cintaku Saerah di TV3 itu boleh dianggap malar segar.

Pendek kata irama lagu berkenaan boleh membuai rasa dan menyentuh jiwa. Jadi tidak pelik apabila lagu itu menjadi sohor kini di aplikasi TikTok baru baru ini.

Lantas TikTok bersama Universal Music Malaysia tampil dengan usaha terus mengembalikan kegemilangan karya berkenaan dengan memilih Meer Nash untuk menyanyikan semula lagu itu.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, keputusan berkenaan mengujakan Meer atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd. Nashrul.

“Apabila pihak TikTok berkata lagu itu sedang ‘trending’ semula dalam aplikasi mereka dan ingin menerokai kemunculan semula, saya sendiri terkesima. Iyalah kerana dalam ramai artis, diri ini yang terpilih.

“Tambah pula saya sendiri secara peribadi meminati lagu berkenaan. Saya percaya bukan diri ini saja yang meminatinya, malah ramai lagi orang di luar sana berasakan hal sama,” katanya.

Meer Nash berbesar hati terpilih intuk menyanyikan semula single Seribu Tahun

Kata penyanyi yang mendapat jolokan Oppa Malay ketika menyertai program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) tahun lalu, perancangan menjadikan usaha ini bermula sekitar 29 Mac lalu.

“Seterusnya terjadi perbincangan antara TikTok dan Universal Music hingga wujudnya kumpulan WhatsApp. Malah dengan situasi semasa pandemik COVID-19, mesyuarat dan perbincangan juga dibuat menerusi aplikasi video Zoom.

“Saat itu, perbincangan juga dilanjutkan dengan membabitkan pemuzik untuk susunan semula lagu itu, tarikh rakaman dan pelancaran serta sebagainya.Akhirnya lagu itu dirakamkan pada 18 Mei lalu di RMP Production di Damansara Perdana.

“Saya berjaya lunaskan proses rakaman sekitar tiga keempat jam. Tak dinafikan lagu itu sangat meruntun jiwa. Perkara yang paling mencabar untuk dilakukan ketika merakamkan lagu ini ialah di bahagian harmoni.

“Nak dijadikan cerita, emosi itu jadi terbawa-bawa lagi sebab saya baru saja putus cinta. Jadi barangkali situasi itu memudahkan saya menyelami bait lirik lagu berkenaan,” katanya yang enggan larut dengan perasaan kecewa putus cinta.

Sempat ditanya adakah dia mengenali pelantun asal lagu berkenaan, Meer mengakui pernah berjumpa Imran beberapa tahun lalu.

“Saya tidak mengenalinya secara rapat. Tapi pernah berjumpanya dalam acara hiburan ketika lagu itu sedang rancak dipromosikan.

“Bayangkan kali pertama jumpa, saya ini bukanlah sesiapapun ketika itu, tapi Imran banyak berkongsi ilmu dan nasihat berkaitan seni. Sejak itu saya terus meminatinya,” ujarnya.

Sebagai komposer, Meer juga sehabis baik mendalami maksud dalam lagu berkenaan sekali gus memudahkan proses rakaman dilakukan.

“Saya pernah merumuskan lagu ini dalam bentuk sinopsis. Daripada perspektif saya, lagu ini maksudnya menceritakan mengenai kekesalan dan rasa kehilangan terhadap insan tersayang sama ada ahli keluarga ataupun kekasih.

“Disebabkan kekesalan itu juga, watak dalam lagu berkenaan sanggup melakukan apa saja untuk kembali menambat hati insan yang telah ditinggalkan.

“Tidak kira berapa lama jangka masa atau betapa jauhnya perjalanan itu, dia sanggup bertahan. Tiada istilah putus harapan dalam dirinya hingga sanggup mempertaruhkan segala galanya,” kata Meer.

Dalam perkembangan lain, Meer masih rancak mempromosikan lagu Saranghae yang diciptanya sendiri.

“Lagu itu dilancarkan sekitar lebih sebulan lalu. Buat masa sekarang, saya masih terus mempromosikannya.

“Dalam masa sama, saya juga cuba mencuri ruang mencipta lagu baru untuk single seterusnya. Cuma biasalah lama terperuk dalam rumah, ilham itu tenggelam timbul. Otak pun tepu, kreativiti berkurangan.

“Pastinya saya sendiri tak sabar untuk menantikan reaksi peminat terhadap rendisi lagu Seribu Tahun,” katanya.

Lagu ini boleh didengarkan di kesemua pelantar pentsriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 13 Ogos yang lalu.