ANUGERAH Lagu Indie 2023 (#ALI2023) telah mengumumkan senarai penuh Top 5 bagi kategori Pop, Rock dan Hip Hop secara eksklusif dalam satu sidang media yang berlangsung baru-baru ini.
Memasuki tahun keempat penganjuran, #ALI2023 kembali lebih mantap dan konsisten memperkasa perjuangan komuniti seni muzik indie bakat anak Malaysia.
Beberapa kelainan telah disuntik dalam musim ini dengan memperkenalkan kategori-kategori lagu terbaik di bawah genre Pop, Rock, dan Hip Hop.
Selain penambahan kategori, #ALI2023 menambah baik format pemarkahan melibatkan 30 peratus undian awam daripada atas talian manakala 70 peratus pemarkahan juri profesional.
Paling menarik, hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM 36,000 menanti juara.
Penerbit Eksekutif #ALI2023, Ahmed Faris Amir berkata, tahun ini pihaknya telah menerima 626 buah lagu dan lebih 11 ribu undian awam merentasi kategori genre telah diterima.

“Sejak penganjurannya pada 2020, ALI masih kekal meraikan pelbagai sempadan runut dan komposisi.
“Sebanyak 15 lagu layak bertanding dan membuat persembahan di Pentas Akhir #ALI2023 yang akan berlangsung pada 7 Mac ini,” katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Bersama iaitu Jennifer Thompson berkata, semua lagu yang disenarai pendek sebagai finalis telah dipilih berdasarkan aspek kualiti lagu.

“Lagu yang dipilih dan dicalonkan mestilah mempunyai lirik dan muzik yang asli.
“Ke semua lagu yang diterima telah dipilih berdasarkan markah yang diberikan oleh Juri Profesional iaitu sebanyak 70 peratus, dan melalui undian awam di anugerahlaguindie.com.my sebanyak 30 peratus,” kongsinya.
#ALI2023 mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan dan Gaya Hidup Rakan Muzik.
Jangan lupa untuk menonton Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie 2023 di laman YouTube Anugerah Lagu Indie pada 7 Mac ini, jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

