TAN Sri Muhyiddin Yassin mengambil kesempatan dalam perutusan terakhirnya sebagai Perdana Menteri dengan mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang terus bertungkus-lumus memerangi pandemik COVID-19.
Pada masa sama, Muhyiddin juga menyampaikan penghargaan kepada penjawat awam yang telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada industri, pekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pimpinan masyarakat dan semua pihak yang membantu Kerajaan PN menyampaikan khidmat kepada rakyat.
“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan Jemaah Menteri yg telah berkorban masa dan tenaga bersama saya selama ini.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada pengurusan tertinggi Kerajaan Persekutuan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dan lain-lain pegawai yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu. Anda semua telah banyak membantu saya menjalankan tugas dan amanah mengurus negara di waktu pandemik ini,” katanya dalam perutusan khas itu.
Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Saya mohon maaf atas kekhilafan, kelemahan – Muhyiddin
Dalam nada sebak, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengucapkan penghargaan paling istimewa kepada isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan keluarga yang menjadi sumber inspirasinya sejak dahulu.
Ucapan terima kasih turut ditujukan Perdana Menteri caretaker itu kepada kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pimpinan tertinggi PN daripada parti-parti lain termasuk sebahagian Ahli Parlimen UMNO yang terus memberikan sokongan hingga saat akhir.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih atas sokongan saudara dan saudari sekalian. Saya akan terus berbakti kepada anda serta sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anda semua.
“Kekal bertenang. Mudah-mudahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

