HAMPIR satu dekad, keadaan di daerah Virginia, Amerika Syarikat, tenteram tanpa sebarang gangguan misteri. Tempoh 10 tahun itu sudah lama, cukup membuat penduduknya melupai siri serangan gas misteri suatu ketika dahulu.
Tiada lagi sosok aneh yang berkeliaran pada waktu malam. Paling penting, tiada lagi semburan gas yang boleh menyebabkan sindrom-sindrom seperti kekejangan otot, muntah-muntah, sesak nafas dan kelumpuhan.
Namun, insiden itu rupa-rupanya berulang kembali. Orang gila si penyembur gas kembali beraksi selepas 10 tahun menyepi. Cuma, lokasi serangan bukan lagi di Virginia, sebaliknya berpindah ke daerah Mattoon, Illinois, kira-kira 1,000 kilometer dari tempat asal serangan itu bermula.
Serangan pertama di Mattoon dicatatkan berlaku pada 31 Ogos 1944. Seorang lelaki, Urban Raef yang sedang nyenyak tidur terjaga apabila terhidu bau yang menyengat dari salah satu sudut penjuru rumahnya.
Bau itu dalam masa singkat membuatkan Raef menjadi pening sehingga dia mengalami muntah-muntah yang kronik. Isterinya yang bangun untuk membantu turut terkena kesan gas itu terlalu sehingga membuatkan tubuhnya sendiri mengalami kekejangan.
Dua hari kemudian, seorang suri rumah, Aline Kearney turut mengalami kejadian serupa. Ketika Aline dan anaknya yang berusia tiga tahun masuk ke bilik untuk tidur, tiba-tiba mereka tercium bau yang sangat kuat sehingga membuat kedua-duanya berasa lemas dan pening. Aline hanya sempat bergerak beberapa langkah sahaja sebelum jatuh tersungkur akibat kekejangan otot.
Ketika polis datang untuk menyiasat kes ini, mereka tidak menemui sebarang objek yang mencurigakan. Serangan misteri itu menjadi semakin sulit untuk dirungkai.

Kejadian itu mendapat liputan meluas pihak media. Akhbar-akhbar tempatan mula menyiarkan berita-berita spekulasi bahawa orang gila penyembur gas yang pernah menggegarkan Virginia 10 tahun lalu kini telah datang ke wilayah Illinois. Berita tersebut telah menyebabkan penduduk tempatan ketakutan.
Mereka telah memberikan pelbagai jolokan terhadap sosok misteri ini seperti ‘Orang gila gas dari Mattoon’, ‘Perayau Bius’ dan ‘Hantu Anestetik’. Figura misteri ini juga dikatakan bertanggungjawab ke atas serangan-serangan yang menyusul pada minggu-minggu berikutnya.
Selepas pihak media menyiarkan berita mengenai kejadian ini, beberapa orang penduduk tempatan turut melaporkan kejadian yang sama. Kebanyakannya menyatakan serangan gas itu telah menyebabkan mereka mengalami kelumpuhan, mual dan muntah.
Seorang wanita, Carl Cordes melaporkan dia telah menemui sehelai kain kecil basah di serambi rumahnya. Ketika memungut kain tersebut, dia mencium bau yang sangat kuat. Sejurus selepas itu, bibirnya membengkak dan kepalanya terasa panas. Carl juga turut mengalami sindrom muntah darah.
Pada minggu-minggu berikutnya, pihak polis menerima beberapa lagi laporan berkaitan serangan gas ini. Kebanyakan mangsa menyatakan mereka melihat sosok tinggi berpakaian hitam yang meninjau-ninjau dari luar rumah ketika kejadian berlaku. Selain itu, ada juga pihak yang menyatakan melihat kepulan asap berwarna biru dan mereka turut mendengar suara berdengung yang aneh.

Pada saat itu juga, Perang Dunia Kedua sedang berlangsung dan media-media di Amerika pernah mengingatkan bahawa pasukan tentera Nazi mungkin menggunakan gas beracun untuk menyerang warga awam. Justeru, penduduk tempatan mula mengaitkan peristiwa tersebut dan tertanya adakah tentera Nazi terlibat dalam siri serangan gas ini.
Disebabkan pihak polis buntu untuk memecahkan misteri tersebut, para penduduk telah membentuk satu rukun tetangga bagi membuat rondaan setiap malam. Tetapi usaha ini juga tidak membawa hasil.
Sehinggalah pada 13 September 1944, mangsa serangan telah meningkat lebih daripada 30 orang. Namun selepas itu, tiada lagi serangan baru dilaporkan. Tiada lagi kes serangan gas, seolah-olah orang gila penyembur gas ini telah berhenti dari menimbulkan kekacauan.
Selama lebih setengah abad, para penulis dan pengkaji cuba melihat kembali kes ini dan menghuraikan apa yang berlaku. Walaupun tidak melibatkan korban nyawa, tetapi status kes ini yang misteri telah menarik perhatian banyak peneliti.
Beberapa pihak cenderung menganggap ia hanya satu spekulasi histeria media semata-mata. Teori ini didukung oleh ahli psikologi, Donald M Johnson yang mendokumentasikan kes ini pada tahun 1945 dan JP Japlin pada tahun 1959. Mereka menganggap efek seperti pening, mual dan muntah adalah kesan semula jadi akibat histeria.
Selain itu, ada juga pihak yang mengaitkannya dengan alasan pencemaran. Kesimpulan ini agak wajar kerana bau gas yang menyengat itu didapati sangat mirip dengan bau dari limbah buangan.
Ada pihak yang membuat spekulasi berkemungkinan bau itu merupakan karbon tetrachloride yang dapat mengakibatkan kesan seperti yang berlaku kepada mangsa. Bagaimanapun, teori ini disanggah kerana pada waktu itu tidak terdapat sebarang limbah buangan seperti yang digambarkan.
Selain daripada teori pencemaran dan spekulasi histeria media, ada juga pihak yang percaya orang gila penyembur gas adalah sosok yang benar-benar wujud.

Salah seorangnya ialah penulis Inggeris bernama Scott Maruna. Beliau telah menulis mengenai perkara ini dalam sebuah buku bertajuk ‘The Mad Gasser of Mattoon: Dispelling the Hysteria’ yang diterbitkan pada tahun 2003.
Bagaimanapun, ia hanya sekadar teori. Sehingga ke hari ini, individu yang melakukan serangan itu masih belum berjaya diberkas. Walaupun sudah hampir lapan dekad insiden itu berlaku, kes serangan gas beracun ini masih dianggap misteri.
____________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

