SUATU hari, seorang lelaki yang baru dibuang kerja merayau-rayau di tengah kota. Kepalanya buntu untuk mencari kerja. Banyak tempat telah dimasukinya dan bertanyakan kerja kosong, namun tiada satu pun yang berhasil. Bini di rumah memberitahu susu anaknya telah habis. Wang pula sudah hampir tiada.
Lalu dia melihat seorang lelaki yang penampilannya agak mewah tidak jauh darinya. Dia mendekati lelaki itu.
“Maaf, boleh saya minta sedikit wang? Anak saya perlukan susu. Saya telah dibuang kerja,” kata lelaki itu.
“Argh! Pemalas. Kau boleh kerja. Tak perlu mengemis. Aku bekerja susah payah untuk aku dan keluarga aku. Bukan untuk diberikan kepada orang malas macam kau!” bentak lelaki kaya itu dengan angkuh dan terus berlalu dari situ.
Lelaki itu berasa sangat sedih. Bukannya dia sengaja mengemis. Tetapi dia terdesak. Daripada mencuri, baik dia meminta.
Tiba-tiba dia terasa ada seseorang memegang bahunya. Dia mengangkat muka. Dilihatnya seorang pengemis berpakaian compang camping berada di depannya.
“Maaf. Saya tidak mempunyai wang untuk diberikan kepada kamu,” kata lelaki itu.
“Aku bukan mahu meminta wang kamu. Aku tahu kamu perlukan wang. Nah, ambil duit aku ini. Sebulan aku kumpul duit ini. Aku harap cukup untuk kamu,” kata pengemis itu sambil menghulurkan bekas plastik yang berisi wang.
Lelaki itu merenung pengemis itu. Dia menjadi serba salah. Dia cuba menolak tawaran pengemis tersebut.
“Aku ini pengemis. Aku perlukan wang untuk hidup. Tapi aku tahu, kau lebih memerlukan wang ini. Ambillah duit ini. Kalau tidak untuk kau, ambillah untuk anak kau,” kata pengemis itu sambil meninggalkan bekas duit di sebelah lelaki itu. Dia kemudian berlalu dari situ.
Lelaki itu bangun dan mengejar pengemis tersebut. Dia memeluk pengemis itu dan mengucapkan terima kasih.
“Tapi kau juga memerlukan wang. Kenapa kau berikan untuk aku?” tanya lelaki itu.
“Rasulullah s.a.w bersabda, barang siapa ingin doanya termakbul dan dibebaskan daripada kesulitan, hendaklah dia mengatasi kesulitan orang lain. Aku percaya akan janji Allah,” jawab pengemis itu sebelum berlalu pergi.

______________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare