Oleh: MUHAMMAD ADI PUTERA

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah pada 21 Ogos lalu sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke 9.

Proses keabsahan dan undi percaya sebagai Perdana Menteri akan dilaksanakan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat. Persoalannya, akan berakhirkah kemelut politik negara?

Kesemua 220 Ahli Parlimen hendaklah melupakan segala persengketaan politik sebelum ini bagi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan seluruh wakil rakyat berpadu tenaga dengan mengutamakan negara dan rakyat.

Negara masih menghadapi situasi krisis kesihatan dan rakyat pula terus terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

‘Gencatan Politik’ hingga PRU-15 perlu dilaksanakan. Perebutan kuasa politik yang sekian lama terjadi memberi tekanan dan keresahan kepada rakyat. Berbahaslah di dalam Dewan Rakyat yang mulia secara bersepakatan bagi merangka solusi terbaik ke arah memerangi pandemik Coviud19, memulihkan ekonomi negara dan membela nasib rakyat.

Berilah tumpuan penuh kepada tiga aspek tersebut demi kepentingan dan kebaikan negara dan rakyat. Aspek keselamatan serta kedaulatan negara, usahlah bimbang kerana kekal terkawal oleh pelbagai agensi keselamatan negara terutamanya ATM dan PDRM tidak terkecuali National Task Force (NTF).

Nyahkanlah rasa dendam. Buangkanlah rasa iri hati. Hentikanlah sengketa merebut kuasa. Hormatilah titah Seri Paduka. Kepentingan negara dan membela nasib rakyat menjadi keutamaan agenda.

Bersama Perdana Menteri dan kerajaan, kita berpadu tenaga bagi menangani krisis kesihatan negara demi kepentingan bersama. Ekonomi negara semakin meruncing, rakyat pula kian menderita dan runsing.

Semua Ahli Parlimen perlu memartabatkan sumpah dan ikrar dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Sudah bertahun rakyat menanti agar kemelut politik berakhir.

Berdamai dan bersatulah wahai ahli politik Malaysia kerana rakyat sudah muak, meluat dan terseksa gara-gara perebutan kuasa. Wahai Ahli Parlimen, berakhirkah sudah kemelut politik negara? Jawapannya kini di tangan anda, ‘tepuk dada tanya selera’.

Marilah kita sama-sama turut membantu frontliners kita dalam memerangi Covid-19 dan memulihkan situasi ekonomi negara. Sayangilah negara kita Malaysia menjadi tanggungjawab utama semua peringkat dan lapisan rakyat Malaysia yang mengaku diri sebagai warganegara.   

Seluruh Ahli Parlimen hendaklah sama-sama bertekad meletakkan noktah besar kepada kemelut politik dan perebutan kuasa bagi mengakhiri segala keresahan rakyat.

Pucuk pimpinan pelbagai parti politik, NGO, Ketua Komuniti dan sebagainya serta seluruh rakyat Malaysia hendaklah turut berganding bahu dalam memerangi Covid-19 yang belum ada indikator akan reda dalam masa terdekat.

Permuafakatan dan gandingan usaha bersama ini berpotensi menjadi game changer kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Kemelut politik negara boleh ditamatkan jika pihak yang menang tidak menekan yang kalah manakala pihak yang kalah pula tidak ‘menarik turun’ yang menang.

Sabarlah menanti medan ‘perang politik’ semasa PRU 15 diadakan nanti untuk melancarkan war of ideas and war of perceptions bagi meraih sokongan pengundi ke arah mencapai kemenangan. Jika semua itu dikompromi dan dipersetujui oleh semua 220 Ahli Parlimen, berakhirlah sudah kemelut politik negara.

  • Penulis adalah penganalisis sosial dan keselamatan