Jangan sesekali memandang rendah kemampuan isteri dalam merencana kehidupan. Walaupun dilihat sentiasa bergantung harap pada suami, namun insan inilah yang sentiasa mencukupkan apa yang terkurang dalam rumah tangga tanpa meminta balasan.
Perkongsian Azizul Azli Ahmad ini cukup membuka mata. Lihat sendiri bagaimana seorang wanita bangkit selepas dikhianati. Jelasnya jangan sesekali membiarkan suami terlalu selesa dibantu sehinggakan ada masa dan duit lebih untuk melayan perempuan lain.
Ikuti perkongsian yang penuh pengajaran ini.
Berat untuk saya luahkan, tapi saya gagahkan menulis agar perkongsian saya ini dijadikan teladan.
Dr kenal saya, kita dah beberapa tahun friend di FB. Tapi mohon Dr hide nama dan gambar profile saya.
Mukadimah :
Saya dikenali di kalangan keluarga sebagai suri rumah. Kerja saya ambik/hantar anak ke sekolah dan buat kerja2 rumah. Itu saja.
Kawan2 ada sekerat dua yang tahu apa kerja yang saya buat. Dunia dan kehidupan saya banyak di rumah sejak berhenti kerja dan tinggalkan dunia korporat lebih 12 tahun lalu.
Bergaya pun kurang. Saya masih pakai kereta buruk suami yang dibeli sejak sebelum kami kawen. Kadang2 kereta mati tengah jalan, itu dah biasa.
Bagi saya kereta baru atau lama tak penting, yang penting sampai ke destinasi. Kereta mati tengah jalan tak apa. Grab ada.
Hakikatnya di rumah saya bekerja, cari duit, bisnes online. Ada beberapa bisnes saya jalankan secara solo preneur. Alhamdullilah, saya berjaya simpan hasil berniaga dan capai impian menjadi jutawan di usia 40 tahun. Memang ini target saya.
Alhamdulillah, Allah makbulkan.
Masih saya ingat di hari saya berjaya achieve target, saya drive di sekitar rumah sambil bertanya kepada diri – dengan apa yang saya ada sekarang, adakah saya akan berubah?
Adakah prinsip hidup yang saya pegang selama ini akan bertukar? Bagaimana pula pandangan saya tentang kehidupan dan kemanusiaan, agama dan ketuhanan?
Tapi bila saya tunduk melihat ke telapak tangan, saya sedar. Tak kira berapa juta saya kumpul, saya masih orang yang sama.
Bentuk di telapak tangan saya masih sama. Diri saya masih sama, tiada yang berubah.
Saya bersyukur.
Duit tidak mengubah nilai dan prinsip yang menjadi pegangan hidup saya.
Kemudian saya bertanya kepada diri.
Apa yang boleh saya sumbangkan kepada agama dan bangsa. Paling tidak jadi bekal ketika mengadap tuhan kelak .
Dari sini saya mula mencari cabaran baru, buat sesuatu yang baru dengan harapan dapat memberi sedikit manfaat kepada orang lain mengikut kemampuan dan kebolehan saya.
Tapi tetap saya letakkan syarat kepada diri. Keluarga dan anak2 masih keutamaan saya.
Malahan saya pernah berkata kepada diri, kini adalah saat saya bantu suami untuk berjaya pula.
Atas sebab ini, apabila suami berhasrat nak pinjam duit saya untuk beli saham di kilang dia bekerja, dengan rela hati saya bagi.
Jumlahnya bukan sikit tapi bernilai 6 angka.
Suami berjanji akan buat agreement tapi lepas dah dapat duit, tukar. Katanya kita buat agreement stamping saja. Rugi bayar lawyer.
Oklah. Dan saya sabar menyokong, sabar menunggu hingga suami saya berjaya. Agreement pula entah ke mana. Senyap begitu saja.
Seingat saya semuanya ok. Kurang sana sini dalam perkahwinan, saya terima seadanya. Suami tak cukup beli barang dapur, saya cukupkan.
Andai ada masalah anak2, saya cuba selesaikan agar suami dapat fokus membangunkan kilang dan perniagaan.
Ye lah. Dah beli saham, mestilah kena usaha lebih.
Saya juga berusaha tukar mindset suami dan anak2.
Setiap hujung tahun kami travel ke luar negara. Biar kami sama2 jauh berjalan luas pandangan , dapat lihat perkara di spectrum yang lebih luas, dan dari berbagai sudut.
Kos tiket flight, penginapan, persediaan perjalanan, itinerary , semua saya sediakan dan uruskan.
Orang kata nak berbelanja biar ikut kemampuan. Ye saya tahu kemampuan saya di mana, dan saya tak mahu bebankan suami saya.
Tak mengapa. Rezeki Allah yang bagi. Saya percaya lagi dikongsi, lagi Allah suka. Apatah lagi bila dikongsi dengan orang yang sama2 hidup susah senang dengan kita.
Hinggalah tahun lepas, saya mula perasan perubahan pada suami saya. Suka menyendiri di rumah.
Jika sebelum ini kami selalu keluar ke pasar atau ke mana2 bersama tapi tidak lagi. Kami lebih banyak buat hal masing-masing.
Hinggakan saya nak ikut ke pasar di hujung minggu suami tak bagi. Biar dia pergi sorang. Adakala suami juga mula sedikit berkasar dengan saya, bercakap dengan nada keras.
——————————
Terbongkar curang
Hinggalah akhirnya saya dapat tahu suami curang dan bermain cinta dengan isteri orang. Hancur hati saya.
Bila saya bersemuka dan bertanya kepada suami, apa salah silap saya. Suami mengaku ia adalah kesilapan dirinya.
Pada awalnya dia menyangka perempuan bernama Ita (bukan nama sebenar) hanya main-main.
Sebab cara perempuan ini approach suami saya sangat santai, seolah bergurau.
Ditambah dengan perempuan ini datang mengadu ada masalah rumahtangga, tak bahagia sejak sekian lama dalam perkahwinan kerana suaminya pernah curang.
Lagi menambah kesian, puan Ita ini ada anak oku. Seolah dia lah insan malang paling teraniaya dan perlu dibela. Suami saya terperangkap kerana kesian.
Lupa saya nak cerita sikit.
Puan Ita adalah PA kepada rakan kongsi baru suami saya. Berumur 47 tahun. Bukan muda mahupun bergetah.
Dah tua, spare tayar sana sini. Bergaya pun tak juga. Dari segi pakaian biasa-biasa saja dengan tudung sarung menutup dada. Tapi inilah hakikatnya, pakaian bukan ukuran iman.
Sejak terbongkar kecurangan, suami berjanji akan berubah. Tapi saya perhatikan ada ketika suami seperti panas dan tak tentu arah ketika di rumah.
Suami juga kadang2 masih kasar dan bersuara keras dengan saya.
Dari rekod misscall dan chat di whatsapp suami , puan Ita masih gigih berusaha dan menggoda suami selama 3 bulan sejak kecurangan mereka terbongkar. Entah di mana maruah dan rasa malu dalam dirinya.
Hinggalah perkara ini diketahui abang dan kakak ipar saya (adik beradik suami), mereka menasihati suami.
Kakak ipar saya juga banyak membantu, memberi sokongan moral kepada saya. Di samping itu, beberapa orang turut cuba mengubati suami saya dari jauh.
Dari apa yang saya faham dan dimaklumkan, suami saya ada termakan benda tak elok yang diberikan puan Ita.
Memang ada beberapa kali suami bawa balik ke rumah makanan yang dimasak dan dibungkus asing oleh puan Ita.
Dari cara dan kelakuan puan Ita ini , dapat saya rasakan dia menyangka saya hanya seorang suri rumah yang tiada apa2, mengharap ihsan dan ditanggung suami.
Makanya dia berani dan layak sailang saya tanpa belas kasihan.
Puan Ita juga rupanya jenis baling batu sembunyi tangan. Segala bukti whatsapp chat ada dengan saya , tapi dia berkeras tak mengaku dia yang memulakan kecurangan ini.
Malahan dengan selamba dia mengugut akan pastikan suami saya jadi laki dia andai diceraikan suaminya.
Ugutan ini dibuat puan Ita selepas saya report perangai curang kepada suaminya.
Sukar dan perit melalui semua itu hanya tuhan yang tahu. Saya telah disahkan berada di fasa awal depression dan anxiety. Hilang berat badan hingga 12kg.
Lebih menyedihkan, anak sulung saya turut dihantar ke hospital selepas pengsan ketika di kolej.
Dari diagnose yang dilakukan doktor, anak saya turut mengalami depression dan anxiety kesan dari apa yang telah berlaku kepada ibubapanya.
Dan perlu menghadiri sesi terapi dan kaunseling.
Sedih pilu hati saya. Menangis sampai bengkak mata, menangis berhari-hari.
Kesiannya anak saya. Baru nak menginjak dewasa terpaksa lalui saat getir begini gara-gara perangai gila orang tua.
——————————–
Terkini lepas setahun berlalu.
Alhamdulillah suami saya mengakui kesilapan dan berusaha berubah. Namun banyak pengajaran yang saya ambil dari kejadian ini.
1. Setiap bulan saya pastikan suami beri nafkah kepada saya. Jika dulu saya tak kisah sebab saya boleh cari duit sendiri, sekarang saya takkan lepaskan tanggungjawab yang wajib suami saya tunaikan.
2. Saya berhenti membantu belanja dapur. Semua 100% saya biarkan suami tanggung. Dia juga perlu bagi duit untuk saya beli barang dapur andai ada yang saya kena beli masa dia keluar bekerja.
3. Seorang kawan pernah menasihati saya. Biar laki kita pening cari duit, pening cukupkan apa yang kurang kat rumah.
Jangan biar dia rasa banyak duit sampai ada masa layan perempuan lain. Di sinilah antara kesilapan saya dulu. Terlalu bertolak ansur dan tak berkira dengan suami hingga dia rasa seolah terlebih mampu.
4. Tak rugi ada income sendiri. Andai jadi apa-apa, at least kita tak hilang punca. Saya pegang kemas pesanan ibu saya tentang hal ini.
Segalanya terbukti kini. Terima kasih mak, selalu pesan agar saya jadi orang yang berhemah dalam berbelanja, rajin menyimpan dan tahu cari pendapatan sendiri.
5. Saya juga telah melantik peguam. Satu perjanjian telah dibuat berkenaan duit pinjaman yang telah saya telah berikan kepada suami untuk pembelian saham kilangnya.
6. Saya juga ada pinjamkan duit tambahan untuk suami beli lebih banyak saham dari rakan kongsinya yang nak jual saham kilang mereka.
Secara rasminya juga suami adalah pemegang saham terbesar di kilang tersebut. Mungkin kedengaran saya bodoh. Dah dicurangi masih berani pinjamkan duit. Tapi tak mengapa.
Semuanya dah di ikat kemas dalam agreement yang mana dinyatakan dengan jelas bahawa suami adalah proksi saya di kilang tersebut.
Sudah tiba masa suami bekerja keras, mencukupkan apa yang kurang dalam rumahtangga kami, dan bekerja mengembangkan duit saya.
7. Saya kini dalam proses mengeluarkan nama suami dari semua geran rumah2 yang dibeli 100% menggunakan duit saya.
Saya kira cukuplah selama ini saya tak berkira hingga tidak dihargai dan dicurangi. Andai berlaku lagi, sekurangnya saya lebih bersedia.
8. Walau ke mana kita pergi, jadilah manusia yang membawa manfaat kepada insan lain. Tak mengapa jika tak dihargai di mata manusia. Allah maha melihat dan malaikat mencatat.
Di kala saya susah dan jatuh jauh ke jurang dalam, Allah hadirkan keluarga, sahabat dan insan2 baik termasuk strangers yang banyak membantu dan memberi sokongan untuk saya bangkit.
Malahan ada yang sanggup go extra miles bersusah payah semata nak tolong saya.
Sehingga kini setiap kali teringat betapa baiknya insan2 ini, hati menjadi hiba dan terharu.
Pendek kata tak pernah rugi jadi baik.
Akhir kata,
Buat puan-puan yang membaca, jangan sesekali pinjamkan duit dalam jumlah yang besar tanpa sebarang perjanjian hatta kepada suami sendiri.
Suami saya asalnya seorang yang lurus dan baik. Tapi siapa sangka, akhirnya gelap mata hati gara-gara khianat seorang perempuan hampir lanjut usia.
Status kesihatan saya dan anak sulung juga bertambah baik. Saya masih menjalankan bisnes di rumah seperti biasa disamping belajar kemahiran baru.
Bagi saya the best ever revenge ke atas apa yang berlaku adalah dengan menjadikan diri saya lebih baik dari setahun lepas.
Saya juga tanpa ragu mendapatkan rawatan laser muka, buat treatment dan tukar cara saya berpakaian. Ini adalah cara saya membuktikan kepada diri bahawa saya sayang diri saya.
Buat puan Ita,
Tiada suami yang sempurna. Suami saya juga banyak kurang dan buruknya.
Tapi sebagai isteri saya cuba tutup dan lengkapi kekurangan suami saya tanpa perlu menjaja aib suami seperti mana puan lakukan.
Hidup sebagai suami isteri bukanlah mencari kesempurnaan tapi saling melengkapi dan terima kekurangan pasangan seadanya.
Setiap kejayaan suami atau isteri, ia adalah hasil dokongan dan sokongan pasangannya. Begitu juga sebaliknya.
Sukar bagi lelaki untuk fokus dan mendaki ke puncak jaya jika isterinya sibuk mencari cinta lain apatah lagi dengan cara yang salah hingga berlaku curang.
Jagalah rumahtangga dan keluarga puan baik-baik. Dari apa yang diceritakan kepada saya, suami puan dulunya seorang yang pandai, educated, graduan dari USA, bekas financial controller.
Tapi bila dilihat di mana suami puan berada sekarang, bagi saya ia bukanlah 100% kesilapan suami puan. Puan turut menjadi penyumbang terbesar.
Buat suami saya,
Orang yang hidupnya sibuk mencipta musuh, membina masalah dan kuat drama seperti Puan Ita tak akan ada masa memajukan diri dan mencipta kejayaan.
Saya maafkan abang . Tapi bukan bermakna saya melupakan segalanya. Ia meninggalkan parut dan kesan yang sangat dalam di hati saya.
Buat pembaca semua, doakan rumahtangga saya kembali aman dan bahagia.
Doakan juga agar segala usaha saya dipermudahkan. Saya redha ini adalah ujian buat saya dan suami. Moga masih ada sinar di penghujungnya.
Buat para suami, hargai lah isteri tuan2. Jangan mudah percaya andai ada perempuan datang mengadu dengan alasan menderita dan tak bahagia.
Itu jerat pemusnah membawa bencana. Perempuan baik dan bermaruah takkan sesekali membalas kecurangan suaminya dengan turut menjadi curang dan merosakkan rumahtangga orang.”
Sumber : Azizul Azli Ahmad

