Penyanyi berbakat besar Fazli Zainal kini muncul dengan single terbaharu berjudul Mantan Yang Terluka hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Fedtri Yahya yang  merupakan satu projek di bawah ISK Muzik (Inisiatif Seni Kreatif).

Kali pertama dapat bekerjasama dengan Ajai, Fazli akui teruja diberi peluang buat julung kalinya setelah sekian lama impikan bekerjasama dengan komposer tersohor tersebut.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Wake The Baby Records kerana menghubungi dan menawarkan saya untuk menyertai projek istimewa ini.

“Ini merupakan kali pertama saya mendapat lagu sentuhan Ajai sepanjang penglibatan saya dalam dunia seni. Semestinya saya rasa gembira akhirnya impian untuk bekerjasama dengan Ajai tercapai.

“Untuk lirik lagu ini, saya sendiri meminta Fedtri Yahya yang menghasilkannya sebab sudah banyak kali bekerjasama dengannya dan tahu dia mampu hasilkan lirik yang berkualiti,” kata Fazli tentang lagu yang telah menjalani proses rakaman sekitar Julai 2020.

Bercerita tentang harapan pada lagu Mantan Yang Terluka, Fazli memberitahu dia berharap naskah baharu itu akan diterima baik oleh peminat dan membawa dirinya kembali ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Setiap penyanyi pasti impikan untuk menjejakkan kaki ke pentas AJL. Lagu ini mempunyai potensi yang sangat besar dan saya harap dengan sentuhan Ajai mungkin akan bawa saya sekali lagi ke pentas berprestij itu,” ujar Fazli.

Lagu Mantan Yang Terluka yang diedarkan oleh Universal Music Malaysia ini boleh didapati disemua platform digital bermula 10 September 2021.