Oleh MUHAMMAD ADI PUTERA
RAMAI pemerhati dan penganalisis politik serta rakyat menanti sidang Dewan Rakyat yang akan bermulada 13 September ini. Apa yang mereka harapkan ialah tidak lagi berlaku perebutan kuasa dalam kalangan 220 ahli Parlimen.
Pembangkang serta pengikutnya pula mengharapkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Sri Ismail Sabri tumbang. Persoalannya, perlukah sesi uji keabsahan Perdana Menteri dilaksanakan di Parlimen menerusi undi percaya?
Bukankah lebih baik sesi Dewan Rakyat tersebut dimanfaatkan oleh kesemua Ahli Parlimen dengan memberi fokus ke arah mencari resolusi terbaik bagi memerangi penularan Covid-19 dan merangka strategi pemulihan ekonomi negara.
Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa melaksanakan undi percaya terhadap Ismail Sabri adalah tidak wajar malah berpotensi memberi kesan negatif kepada imej politik negara di mata dunia luar.
Kenyataan ini amat bertepatan dengan situasi negara masa kini sekali gus mengelak daripada negara menjadi bahan ketawa pihak luar. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar uji keabsahan dilaksanakan.
Justeru, demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat, kesemua Ahli Parlimen diseru agar memberi kerjasama kepada kerajaan sekarang untuk sama-sama memerangi ancaman Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Rakyat sudah mula muak dan meluat dengan kemelut politik yang berlaku. Persepsi rakyat pula cenderung melihat bahawa Ahli Parlimen lebih mengutamakan kepentingan politik daripada membela nasib rakyat. Bersimpatilah dengan frontliners yang telah dan sedang bertungkus lumus berusaha menangani krisis kesihatan.
Semua pihak tidak akan rugi dengan membiarkan kerajaan sekarang melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan setelah ancaman Covid-19 mulai reda dan imuniti kelompok dicapai.
PRU 15 pasti diadakan kelak melainkan kiamat untuk rakyat mendapat mandat. Biarlah tempoh berbaki sekitar 18 bulan lagi dapat dibuktikan kepada mata dunia luar bahawa Malaysia telah berjaya menghadapi krisis kesihatan dan pemulihan ekonomi negara serta rakyat seiring dengan Malaysia Boleh.
- Penulis adalah penganalisis keselamatan serta sosial

