Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan keadilan harus ditegakkan berhubung kematian pengawal keselamatan yang diserang dalam kejadian di sebuah kondominium di Ipoh, Disember lalu.

Sambil meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan musibah yang melanda keluarga mendiang S. Thava Sagayam, 64, Ismail Sabri turut menegaskan tiada sesiapa terkecuali daripada garis undang-undang.

“Saya sedih dan terkejut dengan musibah yang melanda keluarga mendiang Thava Sagayam.

“Keadilan harus ditegakkan; tiada sesiapa terkecuali daripada garis undang-undang. Terima kasih YB (Yang Berhormat) di atas keprihatinan,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Beliau berkata demikian untuk membalas ciapan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran yang mengucapkan terima kasih kerana sempat menghubungi keluarga mendiang Thava Sagayam.

Baca artikel berkaitan: Dua maut, van bawa 9 pengawal keselamatan terbabas

Menurut Kula Segaran, Perdana Menteri sempat menghubungi balu mendiang, E. Philomena namun panggilan itu tidak dijawab.

Perdana Menteri kemudiannya sempat bercakap dengan anak saudara mendiang.

“Terima kasih Ismail Sabri kerana sempat meluangkan masa bercakap dengan keluarga mendiang Thava Sagayam.

“Perdana Menteri menghubungi Philomena hari ini tetapi gagal bercakap dengannya. Beliau kemudiannya sempat bercakap dengan anak saudara mendiang. Beliau meluahkan apa yang dirasai sebahagian besar rakyat Malaysia,” kata beliau.

Dalam kejadian 29 Disember lalu, Thava Sagayam, 64, yang bertugas di kolam renang kondomonium cedera di bahagian belakang kepala setelah diserang seorang lelaki.

Kejadian itu berpunca daripada tindakan lelaki yang tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana cuba menghalang anak kepada penyerang itu daripada menggunakan kolam renang yang ketika itu tidak dibuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun, selepas lapan bulan menderita dan menjalani lapan pembedahan di kepala, Thava Sagayam menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada 27 Ogos lalu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram