362 kematian hari ini, 97.9% kes baharu kategori 1 dan 2

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SEBANYAK 362 lagi kematian akibat COVID-19 melibatkan 304 warganegara dan 58 lagi bukan rakyat Malaysia dilaporkan hari ini.

Korban yang dilaporkan hari ini juga naik mendadak berbanding 330 kematian angkara COVID-19 semalam.

Jumlah 362 korban itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian telah pun mencecah 17,883 setakat ini.

Sebagai rekod, kes kematian tertinggi sebelum ini adalah sebanyak 393 korban yang dicatatkan 26 Ogos lalu.

Lebih membimbangkan, sebanyak 104 kes meninggal di luar hospital atau jenazah dibawa ke hospital (BID) telah dilaporkan hari ini.

Ia melibatkan 69 rakyat Malaysia dan baki 35 lagi bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian tertinggi hari ini dicatatkan di Selangor melibatkan 152 kes.

Kata beliau, sebanyak 55 kes dilaporkan di Sabah, 51 kematian di Johor dan 24 lagi di Kuala Lumpur.

Baca artikel berkaitan: 330 kematian, 93 BID, 98.3% kes baharu kategori 1 dan 2

“Kedah melaporkan sebanyak 20 kes kematian diikuti 19 di Pulau Pinang; 13 korban di Negeri Sembilan dan sembilan korban di Perak.

“Sebanyak tujuh kes dikesan di Kelantan, lima lagi di Melaka, tiga di Pahang serta masing-masing dua di Perlis dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan status terkini COVID-19 di Malaysia, sebanyak 1,369 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 978 kes daripadanya disahkan COVID-19 manakala 391 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Sebanyak 764 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan dengan 460 kes disahkan COVID-19 manakala 304 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan

Kes aktif pula telah mencecah 256,302 manakala kes sembuh dicatatkan hari ini sebanyak 21,582.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan, sebanyak 97.9 peratus daripada keseluruhan 19,057 kes baharu hari ini merupakan pesakit COVID-19 bagi kategori 1 dan 2.

Katanya, jumlah 97.9 peratus itu merangkumi 18,652 pesakit yang tidak bergejala atau bergejala ringan sahaja.

Menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak 405 kes atau 2.1 peratus daripada keseluruhan kes berada dalam kategori 3, 4 dan 5.

Kata beliau, mengikut status vaksinasi kes COVID-19 hanya 16 kes yang dilaporkan lengkap vaksinasi tergolong dalam kategori 5 iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, 33 lagi kes yang telah lengkap vaksinasi berada dalam kategori 4 iaitu radang paru-paru dan perlu bantuan oksigen.

“Secara keseluruhan, 8,544 kes atau 44.8 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi; 4,393 kes (23.1 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala 6,120 kes (32.1 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This