Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi - BERNAMA

ATLET olahraga para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi terlepas peluang untuk mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016 dalam peringkat akhir acara 100 meter (m) lelaki T36 (palsi serebrum) di Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.

Mohamad Ridzuan yang berlari di lorong kelima menamatkan aksinya di kedudukan keempat dengan catatan masa 12.15 saat (s) dalam saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik itu.

Walaupun memulakan larian dengan baik, Mohamad Ridzuan dilihat tidak berupaya untuk mengekalkan daya pecutannya terutama pada 10 m terakhir lariannya.

Situasi itu menyebabkan pelari berusia 33 tahun yang lebih dikenali ‘Dek Wan’ itu terpaksa pulang dengan tangan kosong pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

Pelari China Deng Peicheng membuat kejutan apabila meraih kejayaan berganda menerusi emas selain memecahkan rekod Paralimpik milik jaguh Australia, James Turner, yang dilakukan pada peringkat saringan kedua semalam iaitu 11.87s, dengan rekod baharu 11.85s dalam saingan sesi pagi olahraga hari ini.

James terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan masa 12.00s manakala gangsa milik Alexis Sebastian Chavez dari Argentina yang melakukan catatan masa 12.02s.

Sementara itu, kecederaan menghimpit Wong Kar Gee yang bertanding dalam acara lompat jauh lelaki T13 (kecacatan penglihatan) memaksanya menarik diri pada lompatan keempat dalam aksi sulungnya di pentas Paralimpik.

Atlet berusia 30 tahun itu hanya berjaya melakukan lompatan ketiganya dengan catatan 5.93m selepas percubaan pertama dan keduanya dibatalkan.

Dalam pada itu, lompatan sejauh 7.36m pada percubaan ketiga oleh Orkhan Aslanov dari Azerbaijan sudah cukup baginya untuk merangkul emas dalam acara berkenaan.

Ivan Jose Cano Blanco dari Sepanyol pula meraih perak dengan lompatan terbaik 7.04m manakala gangsa dimiliki atlet Amerika Syarikat Isaac Jean-Paul yang melakukan catatan terbaiknya sejauh 6.93m. – BERNAMA