KBS akan cadang Ziyad diberi ganjaran setimpal – Ahmad Faizal

Dari Penulis

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mencadangkan kepada Kabinet mengenai ganjaran setimpal kepada jaguh lontar peluru paralimpik kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli bagi menghargai pencapaiannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, insiden pembatalan pingat emas tidak pernah dijangka, malah tidak pernah difikirkan ketika dasar pemberian ganjaran kepada atlet yang meraih kejayaan di temasya sukan dibuat.

“Kita tidak terfikir perkara itu akan berlaku, bagaimana caranya untuk kita memberi ganjaran kepada kes seumpama itu. Kes ini agak terpencil, sama seperti masalah pandemik COVID-19 yang pada awalnya tiada negara tahu apa nak buat, begitu juga dengan kes Muhammad Ziyad.

“Jadi saya ingin cadangkan kepada Kabinet mungkin kita perlu melihat perkara ini kerana ia agak asing dan tidak pernah berlaku,” katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Nota Serah Tugas Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS di Putrajaya, semalam.

Selasa lalu, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad, 31, dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia.

BERITA BERKAITAN Emas Ziyad dirompak! Seluruh kontinjen perlu bertanggungjawab, bukan atlet – Bekas KP MSN

Beliau diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum pemenang emas dengan lontaran 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Insiden itu menyaksikan Muhammad Ziyad terlepas ganjaran berjumlah RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Sebelum ini, media melaporkan gesaan beberapa pihak berhubung pemberian ganjaran SHAKAM kepada Muhammad Ziyad sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan pencapaian beliau di Tokyo.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, beliau bersama barisan Kabinet mempunyai tanggungjawab kepada kementerian masing-masing dan setiap perbelanjaan dikeluarkan.

“Perbelanjaan kementerian iaitu kerajaan adalah duit rakyat dan kita perlu bertanggungjawab terhadap apa yang kami belanjakan,” katanya.

Mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula optimis cadangan itu akan disambut baik Kabinet yang turut dibarisi beberapa bekas menteri KBS, antaranya Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin.

– BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PETRA peruntuk RM6.3 juta tangani banjir kilat George Town

LEBIH 39,550 penduduk di sekitar George Town dijangka mendapat manfaat daripada Projek Menaiktaraf Pam dan Kolam Takungan Banjir S18...

More Articles Like This