Membela nasib ‘generasi yang hilang’

Dari Penulis

BARU-baru ini, penulis dihubungi oleh seorang anak muda yang hebat dan difahamkan baru berusia 25 tahun.

Gaya percakapan dan penglibatannya dalam Parlimen Belia menarik perhatian penulis. Beliau menjemput penulis untuk menyampaikan ceramah secara maya mengenai TVET kepada generasi muda pasca Covid-19.

Penulis bersetuju menerima pelawaan beliau kerana penulis sudah mula merasakan impak Covid-19 kepada generasi muda, remaja dan kanak-kanak yang akan menjadikan mereka sebagai ‘generasi yang hilang’ atau The Lost Generation.

Pelbagai sekatan yang terpaksa dihadapi dalam menangani penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan terbentuknya generasi ini.

Bank dunia melaporkan  penutupan sekolah akibat Covid-19 menyebabkan 1.6 bilion pelajar tidak dapat menghadiri persekolahan seperti biasa sehingga April 2020.

Hasilnya, mereka bukan sahaja sukar menguasai sukatan pelajaran tetapi juga keciciran dalam pembentukan sikap, tingkah laku, nilai dan proses sosialisasi.

Walaupun ada mengatakan angka itu sangat rendah iaitu 1 bagi setiap 9 orang, tidak mustahil ia jauh lebih besar kerana kesan jangka panjang terhadap generasi itu adalah kerugian besar kepada negara pada masa depan.

Pada pandangan penulis, generasi yang terhasil akibat pandemik Covid-19  akan mendatangkan risiko untuk tempoh 40 tahun akan datang kerana mereka boleh membawa pelbagai penyakit sosial dalam negara.

Oleh itu sebelum jumlah generasi ini meningkat dan memberi kesan negatif pada masa depan, kita perlu mengekang perkara itu daripada berlaku dengan sebaik mungkin dan tidak terkial-kial serta teragak-agak untuk bertindak.

Bagi penulis, generasi bawah umur 20 tahun memerlukan dua sokongan iaitu bimbingan dan kaunseling terutama dalam konteks pendidikan, kemahiran, bakat serta minat mereka.

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menukar kelaziman normal dalam bentuk intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Ramai teraba-raba meniti hari-hari mendatang kerana sudah terbiasa dengan impak hidup terkurung (lockdown),maka di sinilah proses bimbingan dan kaunseling perlu dilakukan segera secara lebih agresif dan progresif.

Dalam hal ini, penulis ingin berkongsi sedikit pengalaman dalam kemasukan belia ke sektor TVET yang menampakkan tanda-tanda bermasalah. Walaupun kerajaan sudah menyediakan pelbagai insentif, aliran kemasukan ke sektor ini memperlihatkan penurunan dan kelembapan sangat ketara.

Selain faktor ketakutan kepada wabak yang dilihat masih tinggi, ia turut didorong budaya selesa baru, ancaman penurunan pendapatan keluarga dan banyak lagi yang mengganggu emosi mereka untuk membuat keputusan.

Di sinilah peranan kerajaan semakin penting untuk membina semula keyakinan diri, perubahan sikap dan halatuju mereka menuju masa depan.

Kita terpaksa menggunakan pelbagai cara kreatif dan saluran media yang menjadi trending dalam kalangan masyarakat untuk menyampaikan mesej. Pendekatan bukan lagi seperti ceramah bimbingan dan kaunseling zaman sebelum ledakan ICT tetapi kepelbagaian kandungan kreatif yang dapat menerapkan ilmu pengetahuan dan nilai kepada generasi muda.

Namun seperti biasa di Malaysia, proses mengadaptasikan dasar dan tindakan selalunya bersifat terkial-kial. Malah kadangkala sudah ‘terhantuk baru terngadah’. Berbuih mulut menasihati dan memberi pelbagai cadangan tetapi responnya amat lemah.

Contohnya, ketika penulis melaksanakan program pekerjaan estet perladangan kepada warga tempatan, penulis ‘berkajang-kajang’ menulis surat kepada Menteri Perladangan sebelum ini.

Penulis juga berkali-kali menghubungi pegawai khas dan bermacam-macam sampel video yang penulis hasilkan dihantar kepada mereka supaya menyokong kempen Ladang Malaysia, Tenaga Kerja Anak Malaysia…usahkan mahu bersama, surat dan mesej pun tidak berjawab.

Itu belum lagi kementerian dan agensi lain yang sama-sama bertanggungjawab dalam membangunkan modal insan negara. Sikap terkial-kial dan bodoh sombong akan menjadikannya lebih parah lagi.

Bagi penulis, lebih baik jalankan sendiri usaha menangani generasi yang hilang ini tanpa menunggu mereka yang terkial-kial.Ia memandangkan generasi itu mungkin anak-anak kita.

Apakah kita mahu melihat kesengsaraan mereka pada masa depan akibat kegagalan membantu menangani masalah mereka ketika ini? Orang putih kata ‘Walk The Talk’.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sistem POS Johor tutup ruang ketirisan minyak masak subsidi

KEJAYAAN mekanisme Point of Sale (POS) di Johor dalam memperkemas rantaian pengedaran minyak masak peket bersubsidi serta mengurangkan ketirisan...

More Articles Like This