KKR teliti nasib kontraktor kecil Bumiputera – Nanta

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) akan meneliti kebimbangan yang dibangkitkan kontraktor kecil Bumiputera berhubung peluang projek dan cadangan kenaikan gred kontraktor sebelum membawa perkara itu untuk pertimbangan di peringkat lebih tinggi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, isu yang disuarakan bukan sekadar berkaitan status gred kontraktor, sebaliknya membabitkan kelangsungan syarikat kecil yang bergantung kepada projek kerajaan untuk terus beroperasi dan berkembang.

Beliau berkata, antara perkara yang diberi perhatian ialah kebimbangan berhubung dasar kenaikan kontraktor G1 kepada G2 yang dikhuatiri memberi cabaran kepada sebahagian penggiat industri.

“Saya memahami bahawa tidak semua kontraktor kecil mempunyai kapasiti dan kemampuan yang sama untuk bergerak ke gred yang lebih tinggi.

“Ada yang masih memerlukan masa, ruang dan sokongan sebelum bersedia meningkatkan keupayaan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF) Kali Ke-13, hari ini.

Menurut beliau, KKR turut mengambil perhatian serius terhadap isu kekurangan peluang projek yang ditawarkan kepada kontraktor kecil, termasuk pengurangan pelaksanaan undian projek di beberapa negeri.

Katanya, keadaan itu memberi kesan langsung kepada kontraktor G1 yang selama ini bergantung kepada projek berskala kecil bagi memastikan operasi syarikat dapat diteruskan.

Akan dibincang dengan kementerian berkaitan

Mengulas lanjut, Nanta berkata, perkara yang dibangkitkan kontraktor kecil Bumiputera itu mempunyai implikasi besar terhadap pembangunan industri pembinaan dan tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, katanya, isu berkenaan akan diperhalusi bersama kementerian serta agensi berkaitan sebelum cadangan dan hala tuju yang lebih jelas dikemukakan kepada pihak berkaitan termasuk Kementerian Kewangan.

“Perkara ini menyentuh soal dasar dan hala tuju pembangunan kontraktor Bumiputera.

“Sebab itu, ia perlu dibincangkan secara menyeluruh sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk dipertimbangkan secara positif,” katanya.

Peruntukan ditingkatkan kepada RM4 bilion

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen dalam memperkasa kontraktor kecil Bumiputera melalui peningkatan peruntukan perolehan kerja bagi kontraktor G1 hingga G4.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan peningkatan peruntukan berkenaan daripada RM2.4 bilion kepada RM4 bilion.

Menurut beliau, langkah itu membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan agenda pembangunan kontraktor kecil Bumiputera yang menjadi tulang belakang kepada industri pembinaan negara.

Nanta menegaskan KKR akan terus menjadi jambatan antara kerajaan dan pemain industri bagi memastikan dasar yang digubal dapat membantu kontraktor kecil berkembang secara lebih tersusun, adil dan mampan.

“KKR akan terus membawa suara persatuan dan kontraktor kecil supaya setiap dasar yang dirangka benar-benar memberi manfaat kepada mereka,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

LRT3 nadi mobiliti dua juta penduduk koridor barat Lembah Klang

PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer memperkukuh jaringan rel di Petaling Jaya, Shah...

More Articles Like This