LANGKAH kerajaan mempercepatkan Bantuan Khas COVID-19 sememangnya dialu-alukan tetapi bantuan tunai semata-mata tidak memadai untuk memulihkan ekonomi rakyat, terutama golongan muda yang terjejas akibat pandemik tersebut.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, bantuan kecemasan tunai yang merupakan senjata utama sewaktu pandemik adalah bersifat sementara kerana apabila negara beralih ke fasa endemik. ia bermakna rakyat mengakui akan hidup bersama-sama virus itu buat beberapa lama lagi.
“Juga bermakna strategi pengukuhan ekonomi makro dan ekonomi rakyat mesti lebih menyeluruh. Sampai bila hendak bergantung hanya kepada tunai dan keluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang jumlah simpanannya pun semakin mengecil. 4.5 juta pencarum KWSP ada kurang RM5 ribu.
“Selesai selesai i-Citra, tidak mustahil lebih sejuta tinggal hampir RM0,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Sharil berkata, untuk merancakkan semula ekonomi, kerajaan mesti tampil dengan idea-idea yang berbeza dari sebelum ini.
“Lebih 750 ribu orang menganggur dan kebanyakannya orang muda. Mereka tidak menolak wang tunai ataupun kampit beras, tetapi mereka lebih mahu peluang kerja dan peluang berniaga.
“Orang muda di Malaysia amat komited serta bersemangat dan pada mereka, tiada ganti kepada konsep menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Untuk mencapai tujuan itu, beliau menyambut baik perancangan pembukaan sektor-sektor ekonomi dengan selamat sepertimana disebut Menteri Kanan Keselamatan dan Menteri Kesihatan baru-baru ini.
“Perinciannya tentunya perlu diperhalusi tetapi dari segi konsepnya, wajar – ke arah fasa endemik. Sambil merancang pembukaan dan kelonggaran itu, kerajaan mesti memerangi pengangguran dengan dasar tuntas,” katanya.
Beliau kemudiannya mengesyorkan sekali lagi skim jaminan pekerjaan atau Job Bank yang mana kerajaan tidak boleh mengharap pihak swasta sahaja untuk mencipta kekosongan pekerjaan tetapi dalam jangka pendek dan sederhana kerajaan beraksi lebih “direct” yakni menyediakan dan membiayai peluang pekerjaan yang sepatutnya.
“Selain itu, sebarang usaha menjana aktiviti perniagaan harus dilaksana segera seperti mempermudah birokrasi yang mengekang peniaga dan penjaja melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan seluruh negara,” katanya. – UtusanTV

