Penyanyi, Ezad Lazim meluahkan rasa kecewa tidak dapat menunaikan solat Jumaat walaupun sudah hadir awal ke masjid baru-baru ini.
Menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, Ezad atau nama sebenar Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 41, berkata walaupun hadir awal berbanding minggu sebelumnya, dia masih gagal untuk masuk ke dalam masjid.
“Salam jumaat..minggu ni datang lagi awal dari minggu lepas..sampai sampai lagi awal pintu pagar dah tutup.
“Ada yang bagi cadangan suruh minggu depan kena datang dari subuh..dhuha..terus duduk dalam masjid jangan keluar. Semoga dipermudahkan kesulitan kita bersama,” kata bekas vokalis kumpulan Exists itu.
Terdahulu, kerajaan telah memberi kelonggaran kepada umat Islam untuk menunaikan ibadah secara berjemaah di masjid atau surau sepanjang Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 dengan SOP yang telah ditetapkan.
Kapasiti jemaah untuk masjid dan surau adalah tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri.


