Drama rantaian The Hotel ialah sebuah naskhah asal yang mengangkat tentang isu kesihatan mental terbitan syarikat produksi Juida Viden Sdn. Bhd.

Penceritaan drama 24 episod yang menyuntik elemen konflik cinta romantik penuh misteri dan manipulasi yang menyentuh hati sebagai plot utama ini bakal menghiasi slot Megadrama bagi menggantikan drama Hawa.

Idea asal drama The Hotel diilhamkan oleh penerbit dan pengarah prolifik, Michael Ang serta turut mendapat sentuhan Helmi Yusof yang memikul tanggungjawab selaku pengarah untuk drama ini.

Manakala panel skrip pula dibarisi oleh Nadia Khan, Rahim Ramli, Qawiem Hamizan dan Michelle Yoon.

Menurut penerbit The Hotel, Michael Ang, perbincangan untuk menerbitkan naskhah The Hotel dibuat ketika drama Angkara Cinta untuk slot Tiara Astro Prima masih lagi dalam proses pembikinan.

“Kebetulan pada waktu itu jadual penggambaran banyak tergendala akibat perlaksanaan PKP. Kekangan yang dihadapi sewaktu PKP akibat pandemik mencetuskan idea untuk membuat cerita yang hanya berkisar dalam sebuah hotel sahaja.

“Selalunya, ramai dalam kalangan yang berduit dan kaya tinggal di hotel. Idea asal tersebut kemudiannya diolah dan dikembangkan untuk memberi kelainan yang menghiburkan,” cerita Michael.

Drama bersiri The Hotel menampilkan Mira Filzah sebagai watak utama.

Dalam pada itu, Michael turut menafikan bahawa drama The Hotel mirip dan meniru drama K-drama popular seperti Hotel De Luna dan Penthouse yang hangat diperkatakan netizen.

“Ramai orang berpendapat bahawa drama ini meniru konsep K-drama seperti Hotel De Luna dan Penthouse namun andaian tersebut tidak benar sama sekali kerana naratif penceritaan The Hotel amat berbeza kerana ia digarap berdasarkan situasi sewaktu kita berhadapan dengan PKP.

“Genre yang diketengahkan menerusi drama The Hotel ini merupakan ‘testing ground’ buat kami untuk melihat sejauh mana keterbukaan masyarakat dalam menerima konsep sebegini bagi drama Melayu.

“Selama ini mereka sering mendakwa bahawa penonton asyik disajikan dengan cerita orang kaya dan kisah cinta yang klise. Jadi, kami bawakan kisah The Hotel yang mengangkat isu-isu tabu yang selama ini ibarat hanya sekadar disapu ke bawah karpet untuk memberi kelainan.

Bercerita tentang memilih penyanyi rap, MK sebagai hero utama, Michael memberitahu ia tercetus hasil perbincangan bersama dengan pihak Astro yang mahukan wajah baharu dengan aura tersendiri untuk memberi kelainan.

“Walaupun pada awalnya nampak kekok dan masih banyak ilmu teknik lakonan yang perlu ditimba, namun saya kagum dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh MK dalam masa yang singkat.

“Saya juga gembira dengan ‘chemistry’ yang wujud di antara Mira dan MK dalam drama ini,” kata Michael.

MK memegang watak Sean dalam drama bersiri The Hotel.

Sementara itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berharap mesej yang disampaikan menerusi naskhah ini dapat membantu mengubah stigma dan diskriminasi sosial terhadap mereka yang sedang berjuang dengan masalah mental.

“Isu berkaitan gangguan mental tidak boleh dipandang remeh atau cuma dianggap sebagai isu bermusim kerana ia mampu mengancam kualiti kehidupan seseorang. Realitinya, masalah tersebut boleh dihidapi sesiapa sahaja dan sukar dikesan melalui penampilan luaran semata-mata.

“Menyedari tahap keseriusan isu tersebut, tema kesihatan mental diangkat menerusi drama terbaharu The Hotel untuk membuka mata audiens mengenai impak dan betapa bahayanya gangguan yang berkaitan dengan mental sekiranya tidak diberikan rawatan yang betul,” katanya.

Selain MK, The Hotel turut dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Mira Filzah, Sean Lee, Natasha Elyzza, Yasmin Hani, Datin Paduka Eina Azman, Farah Ahmad, Daler Yusof, Alif Hadi serta ramai lagi.

Drama The Hotel mengisahkan tentang Raisa, seorang gadis yang tinggal bersama ibunya, Maya yang memiliki salah sebuah empayar perniagaan terbesar di negara ini. Hidup dalam kemewahan, Raisa sebenarnya mempunyai sifat psikopat yang mana dia sukar memahami emosi dan segala tindak-tanduknya berdasarkan kehendak semata-mata sehingga dia mampu untuk membunuh. Sean muncul sebagai penghuni baru di hotel mewah di kediaman Raisa. Walaupun seusia dengan Raisa, Sean mengakui yang dirinya pakar bedah dan ini amat dicurigai oleh Raisa kerana cerita Sean sentiasa berubah-ubah.

Apakah pengakhiran kisah cinta pembunuh psikopat, Raisa dan pembohong patologi, Sean? Adakah hubungan tersebut mampu bertahan walaupun salah seorang daripada mereka terlibat dengan kes pembunuhan?

Jangan lupa tonton drama bersiri The Hotel yang ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 15 September 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.