PELAKON Ashraf Muslim berkongsi berita duka mengenai kondisi bapanya, Muslim Bulat yang dimasukkan ke unit rawatan separa kritikal (IDCU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat Covid-19.
Menurut Ashraf, bapanya kini bergantung kepada bantuan pernafasan selepas di kategorikan sebagai Covid 5B.
“Dah lama saya simpan…beberapa hari yang lepas, ayaha saya telah dijangkiti virus Covid-19,kategori Covid 5B dan sekarang sedang diintubasi di wad IDCU PPUM. Dia sedang melalui proses yang sukar sekarang ini.
“Hari ini bangun tidur rasa sangat-sangatlah sayu…puas pujuk hati ini tapi gagal juga pagi ini. Memang pagi ini saya paksa diri saya untuk sampaikan berita ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ashraf,40, memohon orang ramai mendoakan kesembuhan bapanya dan terus kuat melawan virus Covid-19.
Ketika ini, apa yang diharapkan ialah keajaiban agar bapanya kembali sihat seperti biasa sekaligus pulih daripada jangkitan wabak terbabit.
“Saya mohon sangat-sangat ahli keluarga dan sahabat handai mendoakan ayah saya kuat dan cepat sembuh.
“Dalam hidup, terlalu banyak pengorbanan yang telah saya lakukan, tapi saya belum bersedia lagi untuk terima perkara yang tak diingini berlaku terhadap ayah.
“Apa yang diharapkan sekarang ialah keajaiban yang berlaku terhadap ayah kembali sihat seperti biasa. Allahuakbar, Ya Allah, bantu lah kami semua,” luahnya di Instagram.
Sebelum ini, Ashraf pernah disahkan positif Covid-19 pada April tahun lalu selepas pulang daripada menjalani penggambaran sebuah drama bersiri di Scotland.

