PENYANYI dan pelakon cilik berbakat besar, Fatimah Noryyah Mohd. Noor Kosygin atau lebih mesra dengan panggilan Timah, tampil dengan single perdana berjudul Ceria hasil ciptaan MFMF dan Asyraf Nasir.

Timah yang baharu sahaja berumur 13 tahun itu merupakan artis naungan Rocketfuel Entertainment mula berjinak-jinak dengan bidang nyanyian seawal usia sembilan tahun lagi.

“Ketika berusia sembilan tahun, saya banyak menyertai pertandingan nyanyian di sekolah. Selain itu, saya pernah mewakili Malaysia sewaktu pertandingan nyanyian di China dan Taiwan selama tiga tahun berturut-turut.

“Pada 2019, saya mula terlibat dengan Ceria Megastar Ministar sehingga berjaya ke peringkat separuh akhir,” katanya.

Selain berkebolehan menyanyi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan baik, Timah juga mahir bertutur serta bernyanyi dalam Bahasa Mandarin.

“Ibu saya merupakan seorang guru Bahasa Mandarin dan banyak mengajar saya menguasai bahasa tersebut,” ujarnya ringkas.

Timah harap Ceria akan memberi mood yang positif kepada sesiapa yang mendengar

Idea disebalik tercetusnya single Ceria sebenarnya timbul dari Feros Sayna selaku Ketua Rockefuel Entertainment. Dia mahukan sebuah lagu berentak ceria dengan mesej yang positif buat rakyat Malaysia yang sedang dirundung duka kerana pandemik COVID-19.

“Terima kasih kepada Feros kerana memberikan peluang emas ini buat saya. Single Ceria merupakan sebuah lagu yang dicipta khas bagi meningkatkan mood keceriaan buat semua orang.

“Liriknya menceritakan tentang harapan dan kesyukuran, manakala melodinya berentak pop rancak, menimbulkan rasa gembira buat pendengar.

“Saya rasa terpanggil untuk menceriakan suasana murung yang sedang melanda negara. Impian saya adalah untuk menggembirakan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat menerusi nyanyian. Tak mungkin kita akan merasa suram selamanya kerana pasti ada pelangi yang bakal muncul apabila semuanya kembali normal.” tuturnya.

Single yang bergenre pop dansa ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlanjutan sebelum ini. Namun, ia berjaya disempurnakan tanpa sebarang masalah.

“Sewaktu proses rakaman sedang berlangsung, banyak perkara baru yang saya pelajari. MFMF banyak memberi tunjuk ajar tentang teknik nyanyian yang betul dan bagaimana memperbaiki mutu nyanyian agar mood yang cuba ditonjolkan ‘timbul’ ketika mendengarnya,” jelasnya.

Timah yang meminati penyanyi lama, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Sri Siti Nurhaliza berkata,”harapan saya adalah agar single Ceria dapat menghiburkan setiap lapisan masyarakat di Malaysia tak mengira umur, bangsa mahupun agama kerana mesej positif yang cuba disampaikan.

“Saya juga berdoa agar Tuhan memelihara kita semua dan memberikan kekuatan buat mereka yang sedang bertarung nyawa disebabkan COVID-19,” akhirinya.

Lagu Ceria boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.