SALAH satu lukisan yang pernah mencetuskan fenomena aneh ialah ‘The Crying Boy’, potret yang memaparkan kanak-kanak lelaki (ada juga perempuan) yang kelihatan sedih dengan linangan air mata.

Dikatakan siri potret itu dilukis pada tahun 1950-an oleh Giovani Bragolin (juga dikenali sebagai Bruno Armadio), seorang pelukis Itali. Lukisan itu telah dicetak lebih 50,000 naskhah dan dijual di sekitar Eropah. Lukisan ini mendapat sambutan hangat sekitar tahun 1980-an.

Antara lukisan The Crying Boy.

Lukisan yang menonjolkan sosok kanak-kanak sedih dengan linangan air mata ini dikatakan telah mencetuskan banyak kejadian kebakaran yang mencetuskan misteri. Sejak itu juga, potret ini dianggap sebagai salah satu lukisan terkutuk yang membawa nasib buruk kepada penyimpannya.

Siri kebakaran mula dilaporkan berlaku di kalangan penduduk di utara England. Kes pertama dilaporkan oleh akhbar tempatan, The Sun pada 4 September 1985.

Sebuah rumah milik seorang anggota bomba, Peter Hall dilaporkan hangus selepas mengalami kebakaran secara tiba-tiba. Sewaktu kerja-kerja mencari punca kebakaran dilakukan, Peter menjumpai satu objek di bahagian ruang tamu rumahnya.

Ia adalah sebuah salinan lukisan lama miliknya yang dikenali sebagai The Crying Boy. Peliknya, lukisan tersebut sedikit pun tidak terjejas akibat kebakaran itu.

Waktu itu, lukisan tersebut terkenal dan diminati oleh ramai penduduk di daerah tersebut. Banyak rumah yang mempunyai lukisan itu.

Keesokan harinya, pada 5 September 1985, The Sun sekali lagi melaporkan kebakaran yang sama berlaku pada kediaman seorang wanita, Dora Mann.

Menurut Dora, rumahnya hangus dijilat api selepas enam bulan membeli lukisan The Crying Boy itu.  Apa yang pelik, kesemua lukisan yang berada di ruang tamu rumah Dora musnah terbakar kecuali lukisan budak lelaki tersebut.

Beberapa hari kemudian, seorang lagi mangsa, Sandra Craske iaitu kakak ipar kepada Dora Mann, turut mengalami kejadian yang serupa. Seluruh rumahnya musnah dijilat api akibat menyimpan lukisan misteri itu.

Sandra mendakwa sebelum kebakaran berlaku, dia melihat lukisan miliknya itu bergerak dan berpusing-pusing dengan sendirinya.

Ekoran dari kejadian tersebut, penduduk mula mengaitkan kebakaran tersebut berlaku akibat sumpahan potret The Crying Boy. Namun, dakwaan mereka tidak disokong kerana tiada bukti kukuh menunjukkan kebakaran itu disebabkan lukisan terbabit. Hasil siasatan daripada pihak bomba pula mendapati kebakaran yang berlaku berpunca dari puntung rokok, kuali terlalu panas dan litar pintas.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu berlaku lagi kebakaran. Pada 9 September 1985, seorang wanita dan dua orang kanak-kanak melecur selepas rumah yang mereka diami musnah terbakar.

Dikatakan kebakaran itu berlaku selepas bapa kepada dua orang kanak-kanak itu, Brian Parks cuba memusnahkan lukisan tersebut. Namun, usaha Parks gagal dan lukisan itu tidak hangus walaupun rumah mereka musnah dijilat api.

Pihak berkuasa menyuruh penduduk mengumpulan lukisan tersebut untuk dimusnahkan.

Semakin lama semakin banyak kejadian kebakaran secara tiba-tiba berlaku dan setiap rumah yang terbakar pasti mempunyai lukisan tersebut. Penduduk percaya ia bagaikan satu petanda atau sumpahan yang menakutkan berpunca daripada lukisan misteri tersebut.

Menurut laporan akhbar The Sun pada 26 Oktober 1985, pihak kerajaan tempatan mengumumkan kepada semua penduduk supaya melupuskan lukisan The Crying Boy secepat mungkin.

Pada 30 Oktober 1985, sebanyak 1,000 keping salinan lukisan tersebut berjaya dimusnahkan dengan kawalan ketat pihak bomba.

Pun begitu, usaha pihak kerajaan tempatan untuk menamatkan sumpahan lukisan tersebut masih tidak berjaya. Pada 12 November 1985, seorang lelaki Malcolm Vaughn cuba memusnahkan lukisan milik jirannya. Akibat tindakannya itu, seluruh ruang tamunya telah terbakar.

Empat bulan kemudian, 24 Februari 1986, seorang warga emas, William Armitage berusia 61 tahun ditemui rentung dalam satu kebakaran.

Apa yang aneh, ketika mayat Armitage dijumpai, pihak bomba menemui sebuah lukisan potret The Crying Boy berada di sebelahnya. Justeru, kes misteri lukisan ini adalah yang pertama mengakibatkan kematian dilaporkan semenjak kejadian siri kebakaran itu.

Bagaimanapun, selepas enam bulan berlalu, misteri sumpahan lukisan ini mula berubah. Ia tidak lagi menyebabkan kebakaran.

Muncul pula Bob Cherry, seorang lelaki yang mendakwa lukisan tersebut memberi tuah kepadanya.

Menurut laporan, pada 20 March 1986, Cherry telah mengutip sebuah lukisan potret The Crying Boy di dalam tong sampah. Kata Cherry, sebelum menjumpai lukisan itu, keretanya sering meragam. Tetapi selepas meletakkan lukisan itu di dalam kereta, kenderaannya itu tidak pernah rosak lagi. Malah, dia juga mendakwa menang judi setelah memiliki lukisan tersebut.

Siapa budak di dalam potret The Crying Boy ini?

Ada yang mengatakan budak lelaki itu adalah anak yatim piatu setelah ibu bapanya meninggal dunia dalam satu kebakaran. Dikatakan juga, selepas lukisan itu siap, budak lelaki itu juga terkorban dalam satu kejadian letupan.

Setelah budak itu mati, dikatakan potretnya kelihatan semakin ‘menangis’ yang melihatkan kesedihannya, Malah, studio Giovani, pelukis potret ini turut terbakar tidak lama kemudian. Dikatakan disebabkan itu sesiapa yang memiliki potret budak ini akan mendapat malapetaka berkaitan kebakaran.

Tetapi, tiada siapa yang dapat mengesahkan apakah benar atau tidak kisah tersebut. Tiada fakta kukuh untuk menyokongnya.

Steve Punt, seorang penulis Inggeris pernah cuba menyiasat tentang potret The Crying Boy yang dikatakan tidak terbakar, dengan membawa lukisan ini ke sebuah makmal untuk diuji.

Hasilnya mengejutkan. Lukisan ini diselaputi dengan bahan yang sukar dimamah api. Manakala benang di belakang potret untuk menggantung gambar itu pula dibuat dengan bahan mudah terbakar.

Jadi, apabila sesuatu tempat yang menggantung potret ini terbakar, benang yang menggantung potret itu akan terbakar menyebabkan potret itu jatuh ke lantai dalam posisi terlungkup. Dengan posisi itu ditambah pula bahan yang menyaluti potret itu, tidak hairanlah mengapa potret itu tidak hangus dalam kebakaran. Itu salah satu jawapan ilmiah yang boleh diterima akal tentang misteri potret ini.

Pun begitu, masih tidak dapat dipecahkan bagaimana banyak rumah yang menggantung potret ini boleh terbakar. Dikatakan waktu itu lebih 50 rumah terbakar. Tidak mungkin pemilik rumah terlalu cuai atau sengaaj mahu membakar rumah mereka. Dan persoalan itu masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

__________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam