Gambar FB Tengku Razaleigh Hamzah

AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO yang didakwanya tidak berperlembagaan berkuat kuasa serta-merta Isnin lalu.

Dalam sepucuk surat bertarikh Isnin lalu, Ku Li turut mempersoalkan keupayaan UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang kerana masih lagi bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerajaan.

Menurut Ku Li, Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) telah meluluskan sebulat suara usul memutus sebarang kerjasama dengan Bersatu tetapi usul tersebut telah mengambil masa untuk dilaksanakan.

Apabila dikuatkuasakan, kata beliau, ia telah memberi kesan segera di mana pimpinan tidak mempunyai sokongan dan kerajaan pimpinannya telah dikehendaki meletakkan jawatan tanpa menunggu pengundian di Dewan Rakyat.

“Sudah tentu pimpinan yang dipilih dan anggota kerajaan yang menggantikan kerajaan ‘gagal’ telah direstu oleh pimpinan UMNO walaupun rata-rata orang ramai dan akar umbi parti menzahirkan kekecewaan mereka kerana hampir semua jawatan dipenuhi mereka daripada kalangan kerajaan ‘gagal’.

“Bolehkah mereka ini bantu parti kita tebus kekalahan kita dalam PRU-15 dan akhiri Parlimen yang tergantung?

“Bolehkah kita bergantung harap kepada mereka ini memberi kemenangan kepada parti kita dalam PRU-15 nanti?,” katanya dalam surat tersebut.

Baca artikel berkaitan: Tidak sokong kerajaan, Ku Li mohon ubah ke blok Bebas

Surat berkenaan diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa sama, Ku Li turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang menggalas jawatan tersebut.

Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO pada 27 Julai 2018.

Julai lalu, Tengku Razaleigh telah membuat permohonan supaya tempat duduknya dalam Dewan Rakyat ditukar ke blok Bebas.

Permohonan itu dinyatakan dalam surat rasmi dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Menurut Ku Li, beliau meminta untuk ditukarkan tempat duduk ke blok Bebas yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ku Li turut menegaskan tidak pernah menyokong atau bersama-sama kerajaan yang ditubuh menggunakan nama kerajaan PN.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram