AHLI Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah membuat permohonan supaya tempat duduknya dalam Dewan Rakyat ditukar ke blok Bebas.
Permohonan itu dinyatakan Tengku Razaleigh atau Ku Li dalam surat rasmi yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, bertarikh semalam.
Menurut Ku Li, beliau meminta untuk ditukarkan tempat duduk ke blok Bebas yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ku Li turut menegaskan tidak pernah menyokong atau bersama-sama kerajaan yang ditubuh menggunakan nama kerajaan PN.
Kata beliau, keputusan itu sejajar dengan semangat perjuangan Barisan Nasional (BN), UMNO, pengundi beliau dan seluruh rakyat Malaysia.
“Dengan hormatnya suka saya memaklumkan bahawa saya tidak ingin terus berada di kerusi yang telah disediakan untuk saya dalam Dewan Rakyat bersama-sama dengan lain-lain anggota Dewan Rakyat yang ditempatkan dalam kumpulan seolah-olah menjadi penyokong kerajaan yang ada.
“Dengan makluman ini, saya mohon mendapat persetujuan dan kerjasama Yang Dipertua memindahkan tempat duduk saya ke suatu kerusi dalam Dewan Rakyat berhampiran blok Bebas yang tidak menyokong kerajaan sekarang ini.
Baca artikel berkaitan: Jika dah batal buat apa sidang? Azhar minta Noh bangkit Isnin
“Saya belum mengetahui sama ada anggota-anggota Dewan Rakyat yang lain daripada parti saya telah berurusan dengan Yang Dipertua mengenai tempat duduk mereka dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam surat rasmi itu.
Sementara itu, Azhar Azizan dalam kenyataan memaklumkan telah menerima surat Ku Li, hari ini dan mengambil maklum keputusan tersebut.
Sehubungan itu, Azhar Azizan berkata, Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya telah menerima surat daripada Tengku Razaleigh bertarikh 26 Julai 2021 pada hari ini mengenai permohonan beliau untuk menukar tempat duduk sedia ada dalam Dewan Rakyat ke tempat baru berhampiran dengan blok Bebas.
“Selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat, saya mengambil maklum keputusan Ahli Parlimen Gua Musang tersebut dan telah mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat mengambil tindakan sewajarnya,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

