MESKIPUN sudah 12 tahun melayari percintaan dengan kekasih hati, penyanyi dan pelakon Shiha Zikir masih belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga.
Malah, Shiha,34, sedar sering diajukan persoalan berkenaan bilakah dia akan berkahwin memandangkan usia perkenalan dengan jejaka benama Kamarul Arifin,36, sudah agak lama.
“Saya tidak terburu-buru untuk berkahwin sebab saya bukan seorang yang gemar buat majlis dalam keadaan tergesa-gesa. Lagipun, saya tiada jawapan mengenai bila saya akan berumah tangga.
“Pada saya, selagi belum ada majlis, selagi itulah saya tidak berani untuk berkongsi atau memberikan sebarang kenyataan kepada semua,” katanya kepada URTV.
Shiha berkata demikian sewaktu sesi wawancara bersama pelakon Perisik Cinta Tidak Diundang yang diadakan secara maya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Shiha turut berjanji untuk berkongsi kepada semua peminatnya andai tarikh perkahwinan telah ditetapkan kelak.
“Saya sedar usia saya bukan muda lagi, tetapi saya percaya dengan perancangan Allah. Insya-Allah saya akan tetap berkongsi kepada semua bila tarikh istimewa itu nanti.
“Saya sebenarnya tidak mahu merancang, biarlah kami ‘follow the flow’. Kalau takdir kata kami akan bernikah esok, maka esoklah kami akan kahwin,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

