Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Parlimen, baru-baru ini.

KEDUDUKAN ekonomi negara bertambah baik selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dengan Kadar Keluaran Dalam Negara (KDNK) kembali berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua tahun 2021 setelah menguncup pada empat sukuan sebelumnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan menstabilkan ekonomi itu dicapai hasil langkah kerajaan memperkenalkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang bermula pada 27 Mac 2020

Katanya, Rancangan Malaysia Kedua belas (RMK-12) digubal ketika dunia sedang mengharungi cabaran getir pandemik COVID-19 apabila ramai rakyat yang terkesan dengan terjejas pendapatan dan pekerjaan, selain kehilangan nyawa.

Beliau berkata, penularan pandemik turut memberi impak kepada ekonomi global pada tahun 2020, dengan penguncupan pada kadar 3.2 peratus berbanding pertumbuhan 2.8 peratus pada tahun 2019.

“Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesan pandemik ini. Mengimbas pencapaian dalam tempoh RMK-11, iaitu 2016 hingga 2020, KDNK berkembang pada kadar purata 2.7 peratus setahun, kurang daripada sasaran asal,” katanya dalam ucapan semasa membentangkan usul mengenai RMK-12) 2021-2025 di parlimen hari ini.

Ismail berkata, pandemik juga telah menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan dan pada 2020, defisit fiskal melebar kepada 6.2 peratus daripada KDNK dengan jumlah hutang statutori Kerajaan Persekutuan berada pada tahap 57.9 peratus kepada KDNK.

Katanya, RMK-12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, tiga Tema dan empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan diperkenalkan dalam RMK-12.

Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau ‘whole-of-nation approach’ yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan,” tambahnya.

“Insya-Allah, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. Kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi,” katanya.

Ismail berkata, beberapa matlamat utama dalam tempoh RMKe-12 adalah:

  • Pertama: Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025;
  • Kedua: Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira 10 ribu ringgit sebulan pada tahun 2025;
  • Ketiga: Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025; dan
  • Keempat: Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015. – UtusanTV